ARTIKEL

S. Sivasangari memenangi perlawanan akhir Kejohanan Skuasy Klasik London. - Foto: PSA Tour

Skuasy: Kekal tenang jadi ramuan kejayaan Sivasangari

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Kekal tenang ketika berdepan cabaran getir menjadi ramuan kejayaan luar biasa pemain skuasy negara, S. Sivasangari, yang muncul juara edisi sulung Kejohanan Skuasy Klasik London, Isnin lepas.

Pemain ranking ke-13 dunia itu menggegarkan sukan skuasy apabila menyingkirkan pemain ranking kedua dunia, Hania El Hammamy, dari Mesir 11-9, 5-11, 13-11, 12-14, 11-8 pada aksi final di Alexandra Palace, London.

Juara Sukan Asia 2022 itu mengaitkan kejayaan menjuarai Jelajah Dunia Persatuan Skuasy Profesional  (PSA) bertaraf emas tersebut dengan sikap tenang serta ‘menikmati permainan’ tanpa tunduk kepada tekanan.

“Saya rasa saya bermain skuasy terbaik apabila saya tenang, jadi saya harap dapat meneruskan prestasi dan mentaliti ini dalam kejohanan akan datang.

“Saya selalu ingin mencabar pemain-pemain terbaik dunia dan cuba mengalahkan mereka, jadi untuk melakukannya dalam kejohanan ini sememangnya mengagumkan,” katanya ketika dihubungi BERNAMA.

Pada kejohanan itu, Sivasangari menyingkirkan pemain nombor satu dunia, Nour El Sherbini, dari Mesir  11-9, 11-9 pada peringkat suku akhir sebelum mencipta satu lagi kejutan menewaskan pemain ranking keempat dunia, Nele Gilis, 10-12, 11-7, 11-8, 10-12, 11-9 pada aksi separuh akhir.

Baca lain  Sukma 2020: Keputusan sudah dijangka

Kejayaan itu membolehkan Sivasangari membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah AS$17,598 (RM83,141).

Pencapaian luar biasa pada Kejohanan Skuasy Klasik London itu menjadikan Sivasangari sebagai pemain Malaysia pertama meraih gelaran juara Jelajah Dunia PSA bertaraf emas sejak kemenangan legenda skuasy negara, Datuk Nicol David, dalam Kejohanan Terbuka Hong Kong 2015.

Menurut Sivasangari, kejayaan itu meningkatkan keyakinannya untuk menjadi pemain terbaik dunia serta mencapai matlamat utama menyumbang pingat emas buat negara pada Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles.

Atlet kelahiran Kedah berusia 25 tahun itu berjanji terus berusaha menggapai lebih banyak kejayaan pada masa depan dan menyasarkan kejayaan menembusi kelompok 10 terbaik dunia menjelang akhir musim.

Ditanya bagaimana beliau mengekalkan motivasi selepas terbabit dalam kemalangan yang mengancam nyawa pada Jun 2022, Sivasangari berkata beliau membuat banyak pengorbanan untuk pulih daripada kejadian itu dan kembali melakukan apa yang diminatinya.

“Saya bermain skuasy sejak saya berusia lapan tahun dan melakukan banyak pengorbanan sejak itu.

“Kemalangan kereta itu sememangnya memberi kesan dari segi mental tetapi hari demi hari, saya cuba melakukan segala yang saya boleh untuk berada pada tahap ini,” katanya.

Baca lain  Piala Malaysia: Aksi final JDT bertemu Selangor berulang?

Akibat kecederaan teruk pada bahagian kepala ekoran kemalangan itu, Sivasangari terpaksa berehat daripada sukan skuasy lebih enam bulan, sekali gus terlepas aksi Sukan Komanwel 2022 di Birmingham, England sebelum kembali ke gelanggang pada Januari tahun lepas.

Sivasangari, yang kini sedang bercuti di Sepanyol, bakal beraksi di kejohanan Skuasy Terbuka Antarabangsa El Gouna dari 19 hingga 26 April, diikuti Kejohanan Dunia PSA 2023-2024 dari 9 hingga 17 Mei, kedua-duanya berlangsung di Kaherah, Mesir. – BERNAMA

NOTIS TENDER

BERITA LAIN

BERITA TERBARU