SMA bantu penganggur jana pendapatan

KUCHING: Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) menawarkan program meningkatkan kemahiran untuk rakyat Sarawak yang menganggur dan hilang pekerjaan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19.

Pengurus Besar SMA Dr Zaidi Razak berkata, inisiatif itu sebagai antara platform untuk membantu golongan yang tidak mempunyai pekerjaan, sekali gus mengatasi pertambahan kadar pengangguran.

“Kami mempunyai program, contohnya budaya dan warisan,.

Mereka yang berminat untuk mengembangkan perkhidmatan kebudayaan, penghasilan produk warisan boleh mendapatkan latihan.

“Kami akan memberi latihan secara berperingkat-peringkat kepada mereka untuk menceburkan diri dalam industri budaya dan warisan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Program JOM DIGITAL @ Sarawak Produktif siri ketiga anjuran Nexus Produktiviti Peruncitan dan Makanan & Minuman dan Pejabat Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Wilayah Sarawak, semalam.

Zaidi menambah SMA juga dari semasa ke semasa akan membuat hebahan mengenai latihan dan program kepada umum melalui media sosial seperti Facebook agar mereka yang tidak bernasib baik akibat Covid-19 dapat mengubah, mengambil peluang untuk membangunkan ekonomi keluarga dan menjana pendapatan.

Menurut beliau, setakat ini SMA telah mengadakan lebih 2,000 program meningkatkan kemahiran untuk membantu mereka yang ingin mengubah kehidupan dan ingin membuat penyertaan dalam ekonomi digital.

“Kita tidak boleh mengubah mereka jika mereka tidak mengubah diri sendiri.

Apa yang SMA lakukan adalah untuk kebaikan rakyat Sarawak dan kita mempunyai perancangan yang boleh menukarkan Sarawak menjadi rumah kuasa digital di rantau ini,” katanya.

Dalam pada itu, Zaidi juga menyeru rakyat Sarawak agar menukar cara pelaksanaan perniagaan kepada digital.

“Melalui digital, ia boleh menjimatkan masa, tenaga kerja, wang dan meningkatkan keuntungan kita,” katanya.