
MIRI: Kerajaan Sarawak melalui Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) dan Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) sedang giat memantau pembinaan 11 menara telekomunikasi baharu di kawasan Bekenu dan Lambir.
Selain itu, Kerajaan Persekutuan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) turut memantau pembinaan 17 menara di bawah projek JENDELA.
Pengurus Besar SMA, Ts. Dr. Zaidi Razak berkata pihaknya sedang giat menyelia semua projek pembangunan telekomunikasi di kedua-dua kawasan itu, serta seluruh Sarawak.
“Ia akan disegerakan untuk menangani masalah yang dihadapi oleh masyarakat dan kami sedang melakukan yang terbaik untuk memastikan rakyat Sarawak mempunyai akses kepada kesalinghubungan yang stabil dan boleh dipercayai,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam taklimatnya kepada Adun Bekenu Datuk Rosey Yunus dan Adun Lambir Dr. Ripin Lamat serta ketua-ketua masyarakat di sini, semalam.
Menurut beliau, Kerajaan Sarawak memberi penekanan kepada infrastruktur digital sebagai salah satu keutamaannya untuk memacu agenda ekonomi digital Sarawak menerusi inisiatif Sarawak Linking Urban, Rural and Nation (Saluran).
“Antara objektif inisiatif ini adalah untuk memperluaskan lagi liputan 4G ke kawasan luar bandar dan separa bandar agar rakyat mendapat akses kepada kesalinghubungan yang lebih baik, mengambil bahagian dalam ekonomi digital serta merangkumi pelbagai spektrum pendidikan, e-dagang dan kewangan,” katanya.
Zaidi juga menambah penting untuk Kerajaan Sarawak mendapatkan dana tambahan daripada Kerajaan Persekutuan untuk menangani keperluan telekomunikasi negeri ini.
“Kami juga menggesa ketua-ketua masyarakat memainkan peranan membantu dengan memaklumkan kepada Adun masing-masing dan pihak berkuasa berkaitan jika mereka mengalami liputan yang kurang baik di kawasan mereka,”ujarnya lagi.
Sesi taklimat ini merupakan usaha berterusan SMA untuk memberi taklimat kepada masyarakat tempatan mengenai kemajuan, isu dan cabaran serta hala tuju pembangunan telekomunikasi di Sarawak, pada masa yang sama untuk mendapatkan maklum balas secara langsung daripada mereka.