SMK BM Saratok gamat angkara ‘mun kamek bukan cikgu’

SARATOK: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bahasa Malaysia (BM) Saratok mengangkat tema ‘kalau aku bukan guru’ pada sambutan Hari Guru peringkat sekolah mencetuskan suasana gamat apabila 93 warga pendidik di situ masing-masing mengenakan pakaian berdasarkan apa terjadi sekiranya tidak bergelar guru hari ini.

Penolong Kanan Pentadbirannya Wan Rahmat Wan Hossen memberitahu, tema tersebut memberi kelainan dan makna yang besar buat seluruh warga pendidik di SMK BM Saratok.

“Walaupun sambutan Hari Guru tahun ini bertemakan ‘guru, obor hemah menyinari pertiwi’, tetapi di peringkat sekolah, kita menambah kelainan.

“Setiap tahun pasti ada kelainan pada sambutan. Menariknya hari ini, semua guru dengan bangga berpakaian ala seorang doktor, polis, tentera, tukang masak, jurutera, pekerja lebuh raya, bomba, jururawat jurulatih sukan, pegawai Kastam dan sebagainya.

“Malah, ada kejutan oleh beberapa guru yang masih menyimpan cita-cita misalnya untuk menjadi seorang petani, penghulu, wakil rakyat dan artis rock.

“Pada hemat saya, semua guru amat seronok dan menjadikan perayaan tahun ini berlangsung dengan lebih meriah sekaligus menjadi memori yang tidak akan dilupakan,” katanya.

Beliau yang mengenakan seragam pegawai polis bercakap demikian ketika mewakili pengetua Naimah Ahmad merasmikan sambutan Hari Guru Peringkat SMK BM Saratok yang berlangsung di Dewan Sri Semerbak, semalam.

Beliau mengharapkan sambutan Hari Guru kali ini juga memberi satu kenangan terindah sebagai seorang pendidik yang berjiwa besar dan dapat disimpulkan dalam lipatan sejarah kehidupan.

Menurutnya, tema ‘guru, obor hemah menyinari pertiwi’ amat bertepatan dengan peranan yang dimainkan oleh guru masa kini “Guru abad ke-21 harus memiliki jiwa yang besar selain kreatif bagi mendepani karenah pelajar yang semakin mencabar.

“Keunggulan jati diri, keperibadian mulia, kemurnian hati dan perwatakan sejati seorang guru dalam menyantuni anak didik mampu memberikan sinaran bermakna demi menjamin masa hadapan mereka.

“Saya mengucapkan Selamat Hari Guru buat seluruh warga pendidik di SMK BM Saratok khususnya kerana menunjukan komitmen terbaik dalam menjulang nama sekolah… Tahniah,” ujarnya.

Sementara itu salah seorang guru yang mengenakan pakaian seorang doktor Tatia Atir begitu teruja.

“Inilah cita-cita saya dari dahulu (yang berpakaian lagak seorang doktor), namun rezeki saya untuk mendidik anak bangsa.

“Saya menyifatkan tema ‘kalau aku bukan guru’ cukup menarik kerana sambutan menjadi begitu meriah… ditambah guru-guru begitu ‘sporting’.

“Dalam bentuk tersirat, idea yang disumbangkan warga guru ini dapat memberi pendedahan kepada pelajar tentang cabang bidang pekerjaan yang boleh mereka pilih kelak,” jelasnya.

Sambutan Hari Guru Peringkat SMK BM Saratok dianjurkan bersama oleh Kelab Guru dan Staf serta badan pengawas.

Ia diisi dengan bacaan lafaz ikrar guru, nyanyian lagu, sukaneka dan pemotongan kek yang disumbangkan oleh Bank Rakyat Cawangan Sri Aman yang disampaikan wakilnya Nurul Nik Syafik Majeli.

 

 

Suara Sarawak