
TATAU : Anak syarikat Petroleum Malaysia(Petronas), Malaysia LNG (MLNG) menerusi Program Jangkauan Bestari MLNG telah menyumbang sebanyak 400 keping tilam, 300 unit katil dua tingkat dan 650 unit kerusi plastik kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tatau, semalam.
Simbolik sumbangan disampaikan Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat MLNG Mohamed Syazwan Abdullah @ Laga Jenggi kepada pengetua sekolah berkenaan, Dr. Layang Ugek.
Dalam ucapan ringkasnya, Dr Layang berkata sumbangan itu begitu bermakna dalam memastikan keselesaan para pelajar sekolah terbabit.

Beliau turut mendedahkan pihaknya turut menerima sumbangan peralatan kerusi dan meja, menaik taraf pentas serta sumbangan kepada pelajar SMK Tatau yang menyertai pertandingan Seni Tari di Kuala Lumpur, baru- baru ini daripada Menteri di Jabatan Premier Sarawak Datuk John Sikie Tayai.
Beliau berharap lebih banyak lagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil menghulurkan bantuan dan sumbangan pada masa akan datang.
Selain penyampaian sumbangan, pihak MLNG turut memberikan penerangan berkaitan biasiswa dan peluang-peluang pekerjaan yang ditawarkan syarikat terbabit kepada para pelajar.
Sementara, dalam ceramah motivasi pula Mohamed Syazwan berkongsi pengalaman beliau sebagai pelajar pedalaman dari SK Ulu Roban sehingga berjaya melanjutkan pelajaran sehingga ke Colorado, Amerika Syarikat.
“Tiada yang mustahil, semua ini bergantung kepada usaha anda untuk mencapai ke peringkat tersebut,” katanya ringkas.