SMK St Patrick Mukah bakal menjadi sekolah satu sesi menjelang 2020

MUKAH: Sebagai usaha mengumpul dana untuk membantu pembangunan infrastruktur dan kemudahan bangunan terbaharu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. Patrick (SPS), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SPS, bersama Alumi SPS dan Unit Kokurikulum dan Sukan SPS bakal mengadakan SPS Fun Run 2019 pada 24 Ogos Sabtu ini di sekolah berkenaan.

Penyelaras Program, Mansor Mohamed berkata pihaknya mensasarkan kutipan melalui larian tersebut sebanyak RM200,000.00 dan jumlah peserta yang bakal terlibat untuk hari tersebut ialah seramai 473 orang peserta.

“Matlamat utama diadakan larian ini ialah untuk mengumpul dana PIBG dalam menyediakan kemudahan infrastruktur dan bilik darjah yang kondusif untuk sesi pembelajaran serta pengajaran selain merealisasikan persekolah satu sesi.

“Objektif utama ini juga memberi peluang kepada pelajar untuk menunjukkan bakat dalam bidang sukan, selain membina semangat kerjasama dalam kalangan pelajar, guru dan ibu bapa selain akan menjadi satu platform untuk mengeratkan hubungan kesejahteraan sesama pelajar dan guru,warga sekolah dan ibu bapa,” ujarnya.

Menerusi usaha tersebut katanya ia juga mendokong hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan dalam melahirkan pelajar-pelajar yang bukan sahaja berilmu tetapi juga berakhlak mulia dan mempunyai semangat kekitaan yang tinggi serta memiliki badan yang sihat dan cegas.

Penyelaras Program Mansor Mohammed dan Setiausha SPS Fun Run Siti Aishah Imam Muslim sedang berbincang tentang persediaan larian berkenaan

“Adalah memang menjadi harapan kita untuk merealisasikan persekolahan satu sesi pada awal tahun 2020,” katanya.

Jelasnya lagi program larian yang bertujuan mengumpul dana dan sumbangan tersebut akan bermula ada jam 6 pagi hingga 11.30 tengah hari pada hari tersebut.

“Sehubungan itu sekiranya ada sumbangan dari pihak luar yang ingin menyumbangkan kepada sekolah, mereka boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank PIBG SMB St. Partick Mukah, 161109005931.

“Manakala sumbangan berbentuk barangan seperti set televisyen, peti sejuk, mesin basuh, basikal atau telefon pintar dan lain-lain sumbangan boleh menghantar terus ke pejabat sekolah dan diserahkan ke pegawai yang bertugas,” katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai larian tersebut dan perkembangan terkini bangunan baru SPS berkenaan, orang awam boleh menghubungi Zaidi Morshidi di 011-12003672 atau Mansor Mohammed di 013-8387933.

Bangunan terbaru SPS tersebut diharap dpat merealisasikan matlamat sekolah menjadi sekolah satu sesi untuk tahun 2020.

Suara Sarawak