KUCHING: Selepas berjaya menawan Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor sejak 2022, pada Februari tahun ini, SnapX berhasrat menakluki Sabah dan Sarawak pula.
Dengan himpunan 8,000 rakan pemandu setakat ini, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Amir Azam yakin angka ini bakal meningkat apabila SnapX berjaya menakluki dua negeri tersebut.
“Kami memulakan operasi di Kota Kinabalu dan Kuching termasuk bandar yang aktif terlebih dahulu.
Kami yakin, dengan aplikasi terkini dapat bantu memudahkan urusan pengguna untuk mendapatkan khidmat penghantaran e-hailing dan p-hailing,” katanya.
Menurut Amir, SnapX turut menawarkan Team Bonus kepada pemandu sebagai insentif pendapatan pasif dan lebih stabil.
Malah syarikat ini juga mengamalkan sistem tanpa tunai sekali gus mewujudkan transaksi bank yang lebih baik kepada pemandu. “Sistem tanpa tunai dibuat demi mengelakkan kes ragut, penipuan bayaran tambang dan penipuan tempahan.
“Malah pemandu juga lebih mudah membuat pinjaman bank untuk membeli kenderaan atau rumah apabila transaksi bank lebih baik.
Misi kami adalah mewujudkan kestabilan hidup pemandu SnapX supaya boleh jana pendapatan lebih baik dalam tempoh pekerjaan lapan jam sehari,” katanya lagi.
Mengakui bukan mudah untuk bersaing dengan jenama gergasi dalam sistem e-hailing dan p-hailing, namun Amir yakin dapat terus berdaya saing dengan keistimewaan yang diberikan kepada pemandu terlibat.
“Kami mendengar suara pemandu dan melakukan banyak penambahbaikan demi mewujudkan kestabilan pendapatan kepada mereka.
Malah kami juga menjalankan promosi kredit percuma sebanyak RM10 kepada pelanggan terpilih yang memuat turun aplikasi kami,” katanya yang percaya kepada aplikasi SnapX yang dibangun dan dijalankan sepenuhnya oleh anak tempatan.
Memulakan promosi menggunakan kaedah pemasaran atas talian, Amir berfikiran positif bahawa gabungan promosi secara digital dan testimoni pelanggan sedia ada, berupaya menyebarluaskan perkhidmatan SnapX ke Sabah dan Sarawak.
“Kami memilih kaedah pemasaran melalui atas talian terlebih dahulu kerana kosnya masih lagi rendah dan promosi sebegini boleh pergi lebih jauh.
Saya percaya kaedah pemasaran sebegini boleh difokuskan secara bersasar.
Lagipun, di Sabah dan Sarawak, kami mempunyai sasaran tersendiri iaitu hanya di ibu negeri dan bandar yang aktif sahaja.
Justeru, kaedah sebegini menjadi pilihan SnapX,” ujarnya.
Menurut Amir, dia berpuas hati dengan pencapaian SnapX setakat ini kerana dapat bersaing secara sihat dengan jenama syarikat yang membuat perkhidmatan serupa.
Namun SnapX mempunyai strategi tersendiri untuk bergerak pantas bagi mencapai sasaran perniagaan pada tahun ini.
“Bagi mencapai sasaran dalam perniagaan, selain kaedah pemasaran online, kami juga menggunakan kaedah pemasaran offline dengan cara Meet and Greet Programme.
Kami percaya kaedah sebegini masih tetap relevan pada hari ini.
“Apabila kami turun padang untuk berjumpa dan bersemuka dengan bakal pemandu dan bakal pengguna perkhidmatan kami, hal ini boleh menjadi platform komunikasi dua hala sekali gus menambah baik strategi yang boleh kami lakukan pada masa akan datang,” ujar Amir menutup bicara.