Sokong pelaksanaan laluan pintas di utara

MIRI: Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin (gambar) menyokong cadangan pembinaan jalan alternatif atau pintasan dari Lawas, Limbang hingga ke Miri tanpa melalui Brunei sebagai tambahan kepada pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo sekarang. Menurutnya, jalan alternatif itu akan membuka lebih banyak kawasan untuk tujuan kegiatan ekonomi terutama pembangunan pertanian dan pelancongan.

 

“Ia juga akan menyediakan penyambungan jalan raya dan pengangkutan darat yang lebih cekap, bukan sahaja antara bahagian Limbang dan Miri tetapi juga sehingga ke Sabah. “Rangkaian jalan raya sedia ada perlu melalui Brunei dan beberapa titik pemeriksaan sempadan yang jelas memakan masa dan tidak selesa.

“Penduduk juga terpaksa menanggung kos pengangkutan lebih tinggi dan memenuhi syarat pelepasan kastam serta sekatan pada barang-barang tertentu dan lain-lain,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Selain itu tambah Kim Shin, jalan berkenaan akan dapat memudahkan pergerakan atau perjalanan pelancong di darat dari Sabah dan Lawas ke Miri, begitu juga sebaliknya. “Ini akan memudahkan pergerakan dan pengangkutan tanpa perlu melalui pemeriksaan imigresen dan kastam Brunei.

“Buat masa ini, saya difahamkan orang daripada Lawas perlu melalui lapan titik pemeriksaan untuk sampai ke Miri,” ujar beliau.

Terdahulu Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, memang ada keperluan untuk pembinaan jalan alternatif dalam keadaan tertentu khususnya ketika pandemik Covid-19 selain penghantaran barang keperluan dari Sabah atau Miri.

Suara Sarawak