Sokong usaha kerajaan tanpa rasa prejudis

KUCHING: Semua pihak perlu faham dan tidak memanipulasikan usaha pihak kerajaan untuk mengurangkan serta menghentikan kes pemanduan mabuk di negeri ini.

Ketua Penerangan Pas Sarawak Zharudin Narudin berkata, tindakan itu adalah untuk mengelakkan timbulnya isu yang mendorong ke arah perpecahan dan perselisihan di antara kaum.

“Di mana-mana seluruh dunia, kerajaan telah berusaha untuk menangani kes pemandu mabuk dalam kalangan rakyatnya. “Untuk itu, kita juga menyokong usaha ini dilaksanakan tanpa menimbulkan polemik ketegangan kaum dan salah faham agama yang dimanipulasikan oleh segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Menurut beliau, masyarakat perlu menumpukan usaha untuk mencegah kes ini daripada terus berlarutan tanpa prejudis.

Katanya, tindakan segelintir pihak yang sengaja menggunakan ruang tersebut untuk menimbulkan salah faham dan ketegangan agama tidak akan menyelesaikan masalah yang berlaku malah menjadikan keadaan semakin buruk.

Beliau juga mendedahkan beberapa langkah yang dicadangkan oleh Pas Sarawak untuk menyelesaikan isu pemanduan mabuk di negeri ini.

Antaranya adalah memperketatkan garis panduan di beberapa pusat hiburan seperti hotel atau premis tertentu, menarik lesen perniagaan dan operasi bagi individu yang tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Cadangan-cadangan ini adalah hasil penelitian kepada kajian ilmiah di seluruh dunia kepada isu pemanduan mabuk serta implementasi kepada kaedah penyelesaiannya oleh negara maju.

“Kami berharap agar isu ini dapat diselesaikan dengan solusi mampan. Kita juga memohon agar rakyat Sarawak tidak salah faham berkenaan isu ini,” tegasnya lagi