ARTIKEL

Fatimah (tiga kanan) menyampaikan replika cek Bantuan Perubatan kepada Daphne Ting Sing Yii sempena sesi Dialog Awam (Townhall) KPWK Bil. 1/2026 di Pustaka Negeri Sarawak, hari ini.

Sokongan berterusan perlu bagi permohonan bantuan dalam talian

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Peralihan kepada sistem permohonan bantuan secara dalam talian melibatkan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) memerlukan sokongan berterusan bagi memastikan tiada golongan memerlukan tercicir.

Fatimah serta tetamu kehormat merakam gambar kenangan bersama penerima bantuan.

Menterinya, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata pendekatan itu penting supaya kakitangan agensi berkaitan dapat memberikan perkhidmatan sewajarnya selaras dengan kaedah kerja baharu yang kini banyak dilaksanakan secara dalam talian.

Katanya, meskipun kerajaan bergerak ke arah pendigitalan perkhidmatan awam, masih terdapat sebahagian klien yang menghadapi kesukaran untuk membuat permohonan bantuan secara dalam talian.

“Masih ada dalam kalangan klien yang menghadapi masalah untuk memohon bantuan atau geran secara dalam talian, sama ada disebabkan kekurangan kemahiran digital ataupun capaian internet yang terhad terutama di kawasan luar bandar.

Fatimah dan tetamu kehormat merakam gambar kenangan bersama peserta.

“Dalam usaha bergerak ke arah pendigitalan yang turut melibatkan perkhidmatan kerajaan, kita juga perlu mengambil kira keadaan klien yang memerlukan bantuan khususnya golongan susah dan benar-benar memerlukan,” katanya ketika berucap pada sesi Dialog Awam (Townhall) KPWK Bil. 1/2026 di Pustaka Negeri Sarawak, di sini, hari ini.

Sehubungan itu katanya, segelintir klien memerlukan bantuan dan bimbingan daripada petugas bagi memastikan mereka tidak tercicir daripada menerima bantuan yang layak.

“Tidak dapat dinafikan masih ada kumpulan yang menghadapi kesukaran membuat permohonan secara dalam talian bagi pelbagai perkhidmatan yang disediakan, dan kita perlu membantu mereka.

“Kita tidak boleh menetapkan bahawa permohonan bantuan mesti dibuat sepenuhnya secara dalam talian. Kadangkala apabila perlu memuat naik dokumen atau lampiran, mereka menghadapi kesukaran. Oleh itu, pendekatan bimbingan masih perlu diteruskan,” ujarnya.

Fatimah berkata pendekatan itu penting sebagai tempoh peralihan bagi membantu klien menyesuaikan diri dengan sistem permohonan secara digital.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata semasa lawatan ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Serian semalam, pihaknya mendapati kakitangan di pejabat tersebut menerima kunjungan masyarakat dengan pelbagai tujuan.

“Purata masyarakat yang datang ke pejabat itu sekitar 60 orang sehari untuk pelbagai urusan termasuk memohon bantuan, bertanya mengenai Kenyalang Gold Card (KGC) dan bantuan lain.

“Sebagai petugas barisan hadapan kementerian, mereka perlu mengetahui pelbagai maklumat dan merujuk perkara yang ditanya kepada bahagian berkaitan sekiranya memerlukan penjelasan lanjut,” katanya.

Terdahulu, Fatimah turut menyampaikan sumbangan di bawah KPWK iaitu Bantuan Ibu Bersalin, Endowment Fund Sarawak, Bantuan Perubatan, Bantuan Ketua Isi Rumah Wanita Sarawak (KIRWAS) serta Geran Modal Pemerkasaan Wanita Sarawak (GMPWS).

BERITA LAIN

BERITA TERBARU