Sokongan padu rakyat tingkatkan semangat

SARIKEI: Kerajaan Sarawak terus memberi tumpuan kepada aspek prasarana sejajar dengan pelaksanaan pelan pembangunan bersepadu untuk manfaat rakyat.

Adun Repok, Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata, inisiatif tersebut amat penting untuk membangunkan kawasan N.45 Repok dalam pelbagai sudut khususnya ekonomi berasaskan pertanian.

Pelaksanaan projek itu katanya, membuktikan kerajaan tidak mengabaikan keperluan rakyat yang ingin menikmati kemudahan yang lebih selesa.

“Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sentiasa mengambil kira keperluan rakyat agar mereka tidak tersisih dalam arus pembangunan.

“Keperluan dan kebajikan rakyat di kawasan ini diberikan perhatian yang sewajarnya,” katanya ketika dihubungi selepas mengadakan lawatan ke beberapa tapak projek RTP, semalam.

Dalam lawatan itu, beliau sempat meninjau beberapa projek di kawasannya termasuk di Persatuan Bola Keranjang Sarikei, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Su Ming, Gereja St Alban, Gereja Nyelong Methodist, Gereja Yien Sung Methodist, Gereja Sarawak Full Gospel dan Gereja Bee Eng Methodist.

Sehubungan itu Huang berkata, kesungguhan kerajaan juga banyak membantu menyelesaikan masalah yang berkaitan.

“Sokongan padu rakyat Dun Repok meningkatkan lagi semangat saya untuk memberi perkhidmatan yang terbaik bagi memastikan kawasan saya tidak ketinggalan dalam arus pembangunan,” ujarnya.