Sokongan politik melalui media sosial

Bayangan awal yang digambarkan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar mengenai salah seorang bakal calon bagi mempertahankan kerusi tersebut pada pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) nanti diketahui umum. Ahli Dewan Undangan Negeri Sadong Jaya Aidel Lariwoo dikatakan akan dikekalkan mempertahankan kerusi tersebut.
Ini berdasarkan prestasi cemerlang Aidel di kawasan tersebut sejak dipilih sebagai wakil rakyat pada 2011.
Menurutnya, Aidel merupakan seorang yang cekap, berintegriti, bersih dan memberikan prestasi yang cemerlang sejak dipilih sebagai wakil rakyat di sini pada tahun 2011 yang lalu.
Malah, Sadong Jaya juga merupakan kubu kuat PBB sejak Sarawak semenjak merdeka 1963.
Ia juga berdasarkan kesinambungan prestasi Aidel di Dun Sadong Jaya, keramahan beliau menjadikannya sangat terkenal dan disenangi penduduk di sini.
Menurut satu sumber, Aidel tidak sombong tetapi beliau seorang yang tegas, beramanah dan mempunyai integriti yang tinggi.
Kemungkinan juga latar belakang pendidikan dan kerjaya sebagai seorang jurutera awam memberikan kelebihan kepada Aidel untuk membangunkan Sadong Jaya.
Di samping itu, dengan fokus kepada membantu rakyat yang beliau wakili, beberapa pembangunan terlaksana.
Menurut sumber itu lagi, terdapat sistem bekalan air yang diusahakan oleh Aidel merupakan usaha yang terpuji kerana sistem ini dapat mempastikan kualiti air yang dibekalkan bersih.
Selain itu perhubungan jalan darat ditambah baik dengan pembinaan Jambatan Batang Sadong dan Samarahan mendekatkan lagi penduduk di Sadong Jaya dengan pusat Bandar.
Aidel Lariwoo turut pandai membawa diri kerana beliau tidak kekok untuk bersama dengan rakyat.
Tidak kira tua muda miskin dan kaya, pembawaan diri beliau tetap sama.
Ini memudahkan rakyat mendekati serta mesra dengan beliau.
Sikap begini jarang ada pada Adun di Sarawak. Maka, atas dasar inilah, tindakan mengekalkan Aidel Lariwoo untuk Pilihan Raya Negeri pada 2016 amat tepat sekali.
Hal ini memberikan kita gambaran bahawa calon Sadong Jaya ini mendapat tempat di hati rakyat di kawasannya sejak bergelar Yang Berhormat sejak 2011.
Kecemerlangan beliau mempastikan Sadong Jaya terlibat sama di dalam arus pembangunan diteruskan sehingga beliau sekali lagi kekal sebagai seorang wakil rakyat selepas PRN 2016.
Sokongan terbuka daripada Asfia seakan-akan mengesahkan pencalonan Adiel untuk PRN ketika Majlis Pemimpin Bersama Rakyat sempena penyampaian sumbangan masjid dan surau bagi kawasan DUN Sadong Jaya di Masjid Darul Iman. Mengimbau kembali kemenangan Barisan Nasional ketika itu, yang meraih majoriti mudah membentuk Kerajaan Sarawak buat penggal ke-11 berturut-turut setelah memperoleh 42 kerusi iaitu dua pertiga daripada jumlah 82 kerusi DUN pada Pilihan Raya Negeri Sarawak (PRN) ke-11.
Sarawak mengekalkan hegemoninya sebagai kubu kuat BN di peringkat Kerajaan Persekutuan mahupun di peringkat Kerajaan Negeri.
Manakala pada PRN Ke-10 yang diadakan pada 2011, BN yang ketika itu diketuai Tun Abdul Taib Mahmud masih mengekalkan kemenangan dengan majoriti dua pertiga walaupun parti pembangkang mempunyai kerjasama sangat kuat serta mempunyai banyak modal politik untuk menyerang pentadbiran Tan Sri Abdul Taib Mahmud.
Menarik untuk diingatkan kembali, hampir lima tahun yang lalu ialah ujian sebenar bagi BN dalam PRN kerana buat pertama selepas 33 tahun, Tun Taib yang memegang tampuk pimpinan Sarawak beralih tangan kepada Pehin Seri Adenan Satem.
Malah ia juga dikatakan pertama, sebagai medan menguji sejauh mana populariti yang dimiliki Adenan Satem supaya dapat menambat semula hati pengundi bandar khususnya masyarakat Cina untuk memberi undi kepada BN.
Kedua, apakah isu nasional khususnya yang berkaitan pelaksanaan GST dan skandal kewangan yang sedang dihadapi oleh Datuk Seri Najib Razak memberi kesan kepada sokongan rakyat Sarawak terhadap BN.
Ketika menjalankan kajian pemerhatian di beberapa kawasan di Kuching dan Lundu pada tahun 2016, saya perhatikan tidak ada poster atau banting yang memperlihatkan wajah mantan Perdana Menteri itu.
Saya agak terkejut dengan keadaan ini kerana gambar mantan Perdana Menteri sebelum ini contohnya Tun Mahathir dan Tun Abdullah, menghiasi poster atau banting di sekitar bandar dan pekan di Kuching.
Namun, saya berpendapat ia satu strategi yang baik untuk tidak membayangi Sarawak atau mengaitkan pemimpin Sarawak dengan kes rasuah yang dikatakan berlaku dalam kalangan pemimpin tertinggi BN di peringkat persekutuan.
Bayangan kedua berkaitan dengan PRN Ke-12 – telah disarankan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh yang menasihati semua parti atau calon bertanding pada PRN-12 digalakkan berkempen menggunakan media sosial bagi mengekang penularan Covid-19.
Memberikan contoh yang digunakan sejak Pilihan Raya Kecil (PRK) Chini, PRK Slim dan PRN Sabah, selain menggunakan media massa untuk berkempen, ia boleh dilakukan melalui iklan surat khabar ataupun temu bual dalam talian.
Berdasarkan kajian mengenai penggunaan media sosial untuk sokongan politik di Malaysia yang dijalankan pada 2018, kemunculan media baharu hasil daripada perkembangan rangkaian Internet menjadikan media tersebut sebagai agen demokrasi maklumat.
Hasil kajian juga menunjukkan responden bersetuju bahawa media sosial berperanan dan mempunyai kelebihan dalam menyalurkan maklumat politik berbanding dengan media konvensional. Malah kajian ini menunjukkan masyarakat hari ini sangat perihatin dengan apa yang dipaparkan di media sosial berkenana perkaraperkara yang melibatkan politik semasa.
Di samping itu, perlu ada gandingan bahu dan kerjasama sepenuhnya daripada semua pihak supaya mematuhi norma baharu dan Garis Panduan Pencegahan Covid-19 dalam pilihan raya, penularan Covid-19 dapat dikurangkan.
Abdul Ghani berkata, SPR sebelum ini telah memaklumkan melalui kenyataan media berkenaan dengan Garis Panduan Pencegahan Covid-19 selaras dengan apa-apa arahan terkini di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). Sebagai rakyat Sarawak, kita juga perlu mematuhi garis panduan ini.
Contohnya garis panduan ini dilaksanakan dengan ketat di semua proses pilihan raya seperti taklimat petugas, penamaan calon, proses cetakan dan semakan kertas undi, pengeluaran dan pengiraan undi pos, semakan isi peti undi, sepanjang tempoh berkempen, hari mengundi dan penjumlahan rasmi undi.
Dan, sebagai pengundi, pastikan kita mematuhi juga arahan yang diberikan dari semasa ke semasa.
• Dr. Nadrawina ialah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Sarawak.