Solat Jumaat pertama di Masjid Darul Saadah

SARIKEI: Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh menunaikan solat Jumaat pertama di Masjid Darul Saadah, Taman Susur Jambu di sini, kelmarin.

Ibadah yang turut dihadiri masyarakat Islam sekitar kawasan itu dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) sepenuhnya.

Selesai berjemaah, beliau yang juga Adun Kuala Rajang menyaksikan watikah penyerahan solat Jumaat daripada Pegawai Jais Sarikei Syed Harold Salleh Wan Mohammad kepada Pengerusi Masjid Yakup Ahmad.

Perkembangan menggembirakan itu adalah susulan kebenaran daripada Majlis Islam Sarawak (MIS) yang menaik taraf status surau tersebut kepada masjid.

Yakup berkata, solat Jumaat pertama itu mengakhiri penantian masyarakat Islam Taman Susur Jambu sejak 20 tahun lalu.

“Sudah pasti ini memudahkan penduduk di kawasan ini mengerjakan solat Jumaat.

“Bagaimanapun, ketika ini kita masih perlu mematuhi sepenuhnya SOP PKPP,” ujarnya.

Selain Darul Saadah, Sarikei mempunyai dua lagi tempat untuk menunaikan solat Jumaat iaitu Masjid Al Mutaqqin dan Ar Rahmah.

Ketika ini jumlah jemaah masih dihadkan kepada 150 orang untuk satu masjid, manakala Darul Saadah, diberi kebenaran menampung seramai 80 jemaah.

Walaupun belum mendapat pengiktirafan rasmi, ia bakal memberi kesan positif kepada penduduk setempat.

Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi Surau Awangku Abdullah Pengiran Taib berkata, surau yang dibina 20 tahun lalu itu mampu menampung 500 kariah dalam satu masa.

Hadir sama Timbalan Residen Sarikei Abang Porkan Budiman.