Songket Sarawak ke pentas global

KERAJAAN Sarawak berhasrat untuk mencalonkan songket Sarawak dalam senarai wakil Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara (ICH) tahun hadapan.

Menurut Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, pencalonan itu akan melonjakkan lagi seni tenunan songket Sarawak ke persada antarabangsa.

Inisiatif murni itu bukan sahaja ingin membawa songket Sarawak lebih dikenali di mata dunia, malah ia dilihat sebagai usaha untuk memastikan seni tenunan tidak ‘lenyap’ ditelan kemodenan dewasa ini. Songket Sarawak yang bernilai sehingga RM20,000 sehelai memiliki keunikan tersendiri, berbanding songket tenunan di negeri lain.

Malah keistimewaan songket Sarawak yang menjadi bualan penggemar seni tenun ini ialah ia dapat digunakan secara dua muka, iaitu corak bahagian dalam dan bahagian dalamnya dapat dipakai.

Memiliki nilai komersial yang tinggi, songket Sarawak dihasilkan dengan nilai estetika tersendiri oleh penenunnya.

Cara tenunannya bermula dengan pembahagian benang berlainan kerana songket Sarawak memiliki sifir tersendiri, sifir pembahagian benang dilakukan untuk menimbulkan motif.

Teknik tenunannya pula mempunyai dua kali ketuk, empat kali ketuk dan enam kali ketuk.

Jika dibandingkan dengan songket di negeri lain, hanya songket Sarawak yang mementingkan kekemasan di bahagian belakang dan menggunakan teknik ‘tapok’ (benang sembunyi).

Kekemasan dan keindahan seni tenunan songket Sarawak telah berjaya menarik minat Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bersama-sama isteri Ketua Menteri, Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang berkolaborasi melalui Penjara di Pahang dan Penjara di Sarawak menghasilkan tenunan songket masing-masing.

Jalinan ini bermula sejak kedatangan baginda ke Kuching untuk menghadiri program Lembaran Emas: Songket dan Keringkam Sarawak yang berlangsung di bangunan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak, pada Julai 2019.

Kerjasama dua negeri ini memperlihatkan seni tenunan songket Sarawak mempunyai platform tersendiri untuk dimartabatkan ke mata dunia.

Malah, usaha pengamal industri dan pereka fesyen tempatan baru-baru ini menggarap seni songket Sarawak dengan iringan muzik pada majlis Makan Malam Sarawak Music Fashion Galore (SaMFaG) 2020 Sabtu lalu.

Ia adalah satu lonjakan industri songket tempatan. Kesungguhan rakyat Sarawak terutamanya generasi muda mengangkat songket Sarawak sambil disulami rekaan kontemporari merupakan idea segar, namun tidak merosakkan seni tenunan songket itu sendiri.

Justeru, sekiranya songket Sarawak berjaya meraih tempat, wakil Unesco sebagai ICH tahun hadapan, ia pasti akan menambahkan prestij songket Sarawak di mata dunia.