SARIKEI: Halus dan kemas. Sudah cukup bagi menggambarkan songkok tinggi yang diihasilkan oleh Marina Bolhassan, 43, di Jalan Drahman Kria di sini.
Tidak hairanlah jika songkok yang menggunakan jenama Songkok Anak Pulau, mendapat permintaan tinggi pelanggan bukan sahaja di sekitar Sarikei tetapi juga Semenanjung Malaysia hingga ke Sabah.
Menurut Marina, setiap Ramadan, dia menerima banyak tempahan membuat songkok tinggi yang kini semakin popular terutama dalam kalangan penggemar aksesori hiasan kepala itu.
“Saya buat macam-macam songkok, dari kecil hingga ke besar dan dari rendah ke tinggi. Ada yang menempah tiga hingga lapan inci tingginya. Bagaimanapun dalam banyakbanyak songkok, songkok tinggilah yang paling banyak ditempah.
“Lazimnya songkok jenis ini menjadi tumpuan setiap kali musim perayaan, namun ada juga yang menempahnya untuk kegunaan dalam majlis rasmi.

Mungkin kerana sesuai dipadankan dengan baju Melayu. Si pemakainya juga memang kelihatan lebih kemas dan bergaya,” katanya kepada Suara Sarawak.
Marina berkata, permintaan pelanggan terhadap songkok tingginya itu memang cukup menggalakkan sehingga menyebabkannya tidak menang tangan malah, ada tempahan yang terpaksa ditolak kerana bimbang tidak dapat disiapkan.
Ujarnya, setiap songkok boleh disiapkan dalam tempoh sejam namun bergantung kepada pelanggan kerana mereka bebas memilih ketinggian dan saiz mengikut selera masing-masing.
“Walaupun kelihatan menarik dan unik, proses membuat songkok tinggi sebenarnya tidak semudah dibayangkan. Pemasangan dinding atasnya, merupakan bahagian paling sukar kerana jika tidak berhati-hati, ia dapat mempengaruhi reka bentuk songkok.
“Selain itu, bahan yang digunakan juga bergantung kepada jenis baldu. Bagi songkok yang bermutu, kita perlu menggunakan kain yang berkualiti,” katanya yang amat mementingkan keselesaan pelanggan. Menurut Marina, dia memilih jenama Songkok Anak Pulau kerana diambil sempena nama tempat kelahirannya Kampung Betanak, Pulau Bruit.
Secara tidak langsung katanya, dia berpeluang mempromosikan nama Pulau Bruit kepada masyarakat luar. Mengimbas sejarahnya membuat songkok, Marina berkata, segalanya bermula selepas dia berhenti kerja 10 tahun lalu. Berbekalkan sedikit kemahiran katanya, dia cuba mengambil upah menjahit pakaian sebelum beralih kepada membuat songkok.
“Berbekalkan modal RM200 untuk membeli sebuah mesin jahit terpakai, saya mempelajari cara membuat songkok sedikit demi sedikit. Prosesnya agak panjang dan sukar, namun berkat kesabaran, saya akhirnya mampu menghasilkan songkok sendiri,” jelasnya.