KUALA LUMPUR: Pasangan beregu campuran profesional negara Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie menyasarkan untuk mara ke peringkat separuh akhir di Kejohanan Badminton Dunia di Copenhagen, Denmark bermula dari 21 sehingga 27 Ogos ini.
Soon Huat, 33, berkata selepas sering terkandas di suku akhir, beliau dan pasangannya Shevon berharap dapat menamatkan penantian mereka untuk membawa pulang pingat kejohanan berprestij itu, buat julung kali.
“Ini kejohanan dunia keempat kami, selalunya paling jauh pun sampai suku akhir, jadi (kali ini) harap-harap boleh pergi sampai separuh akhir dan dapat satu kali (peluang) menang pingat,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di sini, semalam.
Soon Huat-Shevon yang menghuni ranking dunia ke-10 akan berhadapan pemenang antara pasangan Bulgaria Iliyan Stoynov-Hristomira Popovska dan wakil Guatemala Jonathan Solis-Diana Corleto Soto di pusingan kedua selepas mendapat ‘bye’ di pusingan pertama.
Dua gandingan China termasuk Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping yang merupakan antara pasangan pilihan menanti Soon Huat-Shevon masing-masing di pusingan ketiga dan suku akhir seandainya mereka berjaya melepasi halangan yang menanti.
“Saya rasa undian bukan yang terbaik tapi bukan yang tidak bagus, saya rasa ia adil, sekarang (saingan) beregu campuran 50-50, sangat kompetitif.
Melihat kepada undian kami, di pusingan ketiga mungkin akan jumpa China yang merupakan lawan lebih kuat,” kata Shevon.
Mengulas lanjut, Shevon akui tetap mempunyai keyakinan tinggi biarpun bakal berdepan tentangan hebat wakil dari China.
“Memang ada keyakinan sebab kami berlatih bersusah payah, untuk overcome opponent, breakthrough new level…walaupun sekarang persaingan sengit dan pihak lawan nampak kuat, ini lah apa yang kami perlu atasi,” kata atlet berusia 30 tahun itu.
Soon Huat-Shevon muncul naib juara Terbuka Switzerland pada Mac lepas sebelum meraih gangsa di Kejohanan Asia yang berlangsung di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) bulan berikutnya.
Sementara itu pemain beregu lelaki profesional negara Teo Ee Yi yang baru pulih dari kecederaan, tidak meletak harapan tinggi pada kejoanan dunia itu.
Pemain berusia 30 tahun itu yang berpasangan bersama Ong Yew Sin itu berkata kecederaan di kaki kanan dialami ketika beraksi di Terbuka Australia awal bulan ini, menghalangnya melakukan latihan berintensiti tinggi menjelang kejohanan dunia.
“…sebab saya mengalami kecederaan beberapa minggu ini, (sekarang) baru nak rasa elok sikit dan mula latihan berat macam biasa, jadi tidak harap banyak, cuma buat terbaik untuk diri sendiri,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di sini semalam.
Yew Sin-Ee Yi yang merangkul pingat gangsa Kejohanan Dunia 2021 di Huelva, Sepanyol akan bertemu pemenang antara pasangan Thailand Pharanyu Kaosamaang dan wakil Amerika Syarikat Vinson Chiu-Joshua Yuan di pusingan kedua selepas menerima ‘bye’ di pusingan pertama.
Yew Sin-Ee Yi yang merupakan pasangan ranking dunia kelapan dan pemenang pingat perak Kejohanan Asia di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), April lepas merupakan pilihan ketujuh di Denmark. – BERNAMA