Soon Koh: PSB parti mesra GPS

SIBU: Presiden Pasti Sarawak Bersatu (PSB) Datuk Sri Wong Soon Koh mengulangi pendirian parti bahawa mereka sebuah parti mesra Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Katanya, PSB menyokong sepenuhnya kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

“Kami amat menyokong pimpinan Abang Johari… begitu juga dengan dasar yang dijalankannya,” katanya semasa Majlis Pra-Gawai Dayak PSB di sebuah hotel terkemuka di sini semalam.

Beliau yang juga Menteri Kewangan Kedua merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Dagang memberitahu, PSB menyokong penuh program transformasi luar bandar dan menuntut kuasa autonomi Sarawak sebagaimana termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 yang diperjuangkan Abang Johari.

“Ini menunjukkan kami sebuah parti mesra GPS, oleh itu jangan menyalah tafsirkan PSB kerana kami sebahagian daripada Kerajaan Sarawak,” tegasnya lagi.

Bercakap mengenai perkara lain, Soon Koh memberitahu bahawa PSB kini mempunyai 8,000 ahli di Selangau, 3,000 (Krian), 5,000 (Engkilili), Batang Ai (3,000), Ngemah (3,000) dan Kapit (3,000).

Menurutnya lagi, masih ramai yang akan menyertai PSB selepas ini.

“Masih ada ribuan lagi ahli baharu di luar sana yang berhasrat menyertai kami dan ini menjadikan tanggungjawab PSB sangat besar. Perjalanan kami mencabar yang memerlukan komitmen serta semangat juang tinggi demi membentuk parti yang kukuh,” tambahnya lagi.