SOPPOA gesa ahli perketat pergerakan di ladang, kilang

KUCHING: Persatuan Pemilik-Pemilik Ladang Kelapa Sawit Sarawak (SOPPOA) menggesa ahlinya untuk terus memperketat pergerakan di ladang dan kilang berikutan penularan Covid-19 di negeri ini.
Ketua Pegawai Eksekutif SOPPOA Andrew Cheng berkata langkah itu penting kerana ia akan memberi kesan buruk sekiranya wabak berkenaan merebak di ladang dan kilang kelapa sawit.
“Jangan buat kesilapan, ancaman Covid-19 itu nyata, berbahaya dan menular.
“Beberapa industri lain di Malaysia terpaksa menghentikan operasi kerana pekerja dijangkiti dan kami tidak mahu perkara yang sama berlaku di Sarawak untuk industri minyak sawit,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, perladangan di bawah SOPPOA terus melakukan kawalan ketat bagi memastikan pekerja di ladang dan kilang tidak terdedah kepada ancaman Covid-19, dengan menyekat pergerakan masuk dan keluar dari ladang dan kilang termasuk ‘self-lockdown’ semasa operasi kerja.
“Kami menyambut baik keputusan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) untuk melakukan pencegahan Covid-19 dengan penetapan prosedur operasi standard (SOP) di ladang dan kilang kami untuk memastikan pekerja sentiasa selamat dan dilindungi sepanjang masa,” katanya.