ARTIKEL

Sorakan Gibran

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Pilihan Raya Presiden Indonesia (Pilpres) 2024 memasuki fasa baharu. Debat pertama calon presiden Pilpres 2024 berlangsung Selasa malam, di Pejabat Komisi Pemilihan Umum (KPU), Jakarta Pusat.

Tiga calon presiden; Anies Baswedan, Prabowo Subianto dan Ganjar Pranowo beradu gagasan dan pandangan dalam debat berlangsung 120 minit itu.

Mereka menyentuh isu pemerintahan, undang-undang, hak asasi manusia, rasuah, demokrasi, perkhidmatan awam serta keselamatan warga.

Sepanjang debat berjalan, pakar komunikasi politik Telkom University, Adi Bayu Mahadian meletakkan Anies secara keseluruhan paling menguasai pentas debat.

Anies dikatakan tampil tenang menjelaskan segala pertanyaan bagi permasalahan yang dibahas menggunakan teknik penyampaian mesej secara terstruktur dalam bentuk komunikasi asertif dan agresif.

Memakai kemeja putih dibalut jas serta bersongkok hitam, Anies menonjolkan diri sebagai ahli politik intelek.

Bahasa badan atau gestur dan gaya bahasa calon menjadi perhatian audiens khususnya pengundi yang akan memilih pada 14 Februari 2024, berbaki sekitar dua bulan lagi.

Betapapun, meskipun Anies Baswedan dan calon naib presiden Muhaimin Iskandar atau Cak Imin percaya undian popular mereka naik terus, namun jika mengikut hujah dan pertimbangan penganalisis politik kontroversi Indonesia, Rocky Gerung bahawa Anies-Muhaimin menempuh laluan sukar.

WIBAWA

Malam debat memberi wibawa tersendiri kepada Anies khususnya di mata kumpulan idealis dan pengkritik kerajaan.

Namun pada carta, hasil survei Roy Morgan berpusat di Melbourne, Australia, meletakkan Ganjar Pranowo mengungguli calon presiden naik kepada 38 peratus.

Ganjar dalam debat tersebut memperlihatkan dirinya bersahabat dengan Prabowo sesuai mereka berdua dalam “perahu” yang sama dengan Presiden Joko Widodo (Jokowi).

Meskipun begitu, Ganjar secara halus dilihat cuba juga menyerang berkaitan tindakan masa silam politik Prabowo.

Manakala, kepada Anies, Ganjar bersederhana. Komunikasi Ganjar dirasakan enak serta kelihatan mengambil sikap neutral mengulas isu.

Prabowo pula dilihat lebih “memikul beban” untuk menjawab beberapa serangan Anies terhadap dasar kerajaan, yang dilihat vokal dan berseteru sebagai rival politik mutakhir.

“Mas Anies mengeluh tentang demokrasi… Mas Anies dipilih jadi Gabenor menghadapi pemerintah yang berkuasa, saya yang mengusung bapak… Kalau demokrasi kita tak berjalan, tak mungkin anda jadi Gabenor,” ulas Prabowo.

Sebagai catatan, bahkan Prabowo sendiri pernah menyokong Anies menjadi Gabenor Jakarta sebelumnya.

REALITI

Prabowo lebih praktikal dan berada dalam realiti, sehingga pembawaannya itu dilihat “berpaling tadah” oleh musuh politiknya yang menganggap Prabowo berubah total daripada pembangkang kepada penerus tegar dasar Jokowi.

Seperti diketahui Prabowo pernah kalah dua kali dalam Pilpres termasuk semasa berdepan Jokowi.

Kali ini, Prabowo tampil berpasangan bersama Gibran Rakabuming Raka, anak kepada Jokowi, yang banyak menjadi senjata, kritikan seteru. Jadi dalam politik semuanya serba mungkin, lebih-lebih lagi dalam politik matang demokrasi.

Selesai debat, mengomentar “caci maki” hingga merendahkan dirinya sebagai presiden Indonesia, Jokowi berkata, semuanya “biasabiasa saja” dan mengaku tidak pernah melakukan pembatasan dalam berbicara dan berpendapat bagi warga Indonesia.

Anies sendiri pernah menyinggung isu indeks demokrasi Indonesia semasa debat.

Menjadi viral dan menarik perhatian semasa debat ialah sikap calon naib presiden pasangan Prabowo iaitu Gibran yang dilihat beraksi ala pemandu sorak semasa Prabowo menjawab pertanyaan Anies berkaitan keputusan Mahkamah Konstitusi (MK) menyentuh Perkara Nombor 90 menyebut tentang had usia calon Pilpres.

Tindakan Gibran berdiri dari kerusinya dan menggerakkan kedua-dua tangannya untuk membakar semangat penyokongnya, terakam dan segera viral di media sosial, menuai hujatan musuh.

TEGURAN

Tidak berdolak-dalik, Gibran, Datuk Bandar Solo itu mengaku menerima teguran banyak pihak dan segera meminta maaf jika tindakannya dianggap salah.

Ada apa dengan Gibran, 36, pada debat tersebut?

Pemerhti berpendapat, Gibran yang terkenal banyak diam, kurang komentar dan cenderung tenang, kali ini dilihat sangat emosi ekoran isu usia menyentuh peribadinya yang bertanding bawah usia 40 tahun.

Ada pemerhati berpendapat, Gibran ingin menyampaikan “mesej” lewat sorakannya itu!

Ketua Pasukan Kempen Nasional Prabowo-Gibran, Rosan Perkasa Roeslani mengaku pasukannya sudah membahas teguran KPU berkaitan sikap Gibran saat debat berkenaan.

Bagi Rosan, pasangan PrabowoGibran terlalu bersemangat mengikuti debat Pilpres 2024 dan sedia bersikap lebih baik untuk agenda debat pusingan dua pada Jumaat 22 Disember ini yang turut melibatkan calon naib presiden.

Nah, Gibran pasti sudah bersedia menyertainya kali ini yang bakal menyentuh isu ekonomi rakyat, ekonomi digital, kewangan, pelaburan, perdagangan, Infrastruktur dan perbandaran.

Tindakan emosi Gibran mungkin terangsang kerana terlalu teruja. Menyertai debat pusingan dua, apa pula gimik Gibran kali ini.

Apa-apa pun, setakat ini semangat politik demokrasi Indonesia sudah memasuki kelasnya yang tersendiri dalam kancah politik Asia Tenggara.

LAIN-LAIN BERITA

Jaga adab di jalan raya

TIDAK kira hujan atau panas, kebanyakan lelaki lebih gemar menunggang motosikal untuk ke tempat bekerja. Walaupun terpaksa menggunakan baju hujan, motosikal tetap pilihan utama mencari

Kisah Prabowo panglima terbuang

BERDASARKAN hitung pantas, Prabowo Subianto sudah hampir pasti akan mengangkat sumpah sebagai Presiden Republik Indonesia ketujuh pada Oktober depan. Kiraan pantas dan tidak rasmi tersebut

Selidik pemungut derma

MENURUT pprm.dbp.gov. my derma ialah pemberian yang ikhlas berupa wang dan lain-lain kepada orang miskin; dan juga bantuan wang kapada kumpulan (yayasan dan lain-lain). Mudah

Kematian semakin dekat

KEMATIAN, sebagai satusatunya kepastian dalam kehidupan manusia, menghantui fikiran manusia sejak awal zaman.  Kehidupan pasti diakhiri dengan kematian sebagaimana firman Allah SWT dalam al-Quran surah

Presiden kelapan bulan sepuluh

KIRAAN cepat (quick count) sejumlah badan bebas berkaitan Pemilihan Presiden (Pilpres) Indonesia 2024 pada Sabtu, 17 Februari, menunjukkan pasangan PrabowoGibran unggul teratas. Mereka meraih 58.48

Bahaya bah betina

SEKALI air bah, sekali pantai berubah. Sekali banjir melanda, air masuk rumah, keseluruhan isi di dalam rumah berubah. Banjir suatu fenomena alam yang sentiasa melanda

BERITA TERBARU