Spa, kesihatan, refleksologi dibenarkan beroperasi

KUCHING: Sektor spa, kesihatan dan refleksologi dibenarkan beroperasi bermula 7 Disember ini, menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.

Bagaimanapun, katanya setiap premis perlu memohon kelulusan bertulis daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) masing-masing sebelum beroperasi dan mengemukakan salinan kepada pihak berkuasa tempatan di mana premis tersebut beroperasi.

“Kerajaan tempatan dan agensi berkaitan perlu memeriksa untuk memastikan bahawa premis tersebut mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu, katanya kesemua operator dan pekerja juga dikehendaki menjalani ujian rt-PCR sebelum dibenarkan bekerja.

“Keputusan ujian tersebut hendaklah negatif dan tidak melebihi tiga (3) hari sebelum beroperasi. Senarai pekerja yang telah menjalani ujian ini perlu dipaparkan.

“Prosedur operasi standard (SOP) yang lebih terperinci boleh diperolehi daripada majlis-majlis tempatan berdekatan di mana premis tersebut beroperasi,” jelasnya.

JPBN menambah premis spa, kesihatan dan refleksologi yang telah mematuhi SOP dibenarkan beroperasi dari jam 10 pagi hingga 12 tengah malam.

Sementara, JPBN turut mengumumkan bermula 7 Disember ini, kebenaran permit polis untuk masuk ke Sarawak tidak lagi diperlukan.