Speaker terima usul undi tak percaya Dr Mahathir terhadap Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Mohd Yusof hari ini menerima usul Anggota Parlimen Langkawi Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengemukakan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pada 4 Mei beliau telah menerima dua usul daripada Anggota parlimen Langkawi itu.

Mohamad Ariff telah menjawab notis yang dikemukakan Mahathir, dengan memaklumkan usul tersebut di bawah Perkara 27 Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

“Satu usul di bawah Peraturan Mesyuarat 27 (3) yang membangkitkan iaitu: Mengemukakan resolusi untuk membuat ketetapan bahawa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebagai ahli yang Berhormat Pagoh tidak mempunyai majoriti ahli-ahli yang berhormat Dewan Rakyat.

“…usul di bawah Peraturan Mesyuarat 27 (3) diterima untuk dibawa ke mesyuarat Dewan Rakyat kelak,” katanya pada suatu kenyataan hari ini.

Sidang Dewan Rakyat akan diadakan sehari sahaja pada 18 Mei ini tanpa sesi pertanyaan lisan, pertanyaan bertulis, usul atau kamar khas akan diadakan.

Selain itu, bekas Perdana Menteri tiga kali yang juga Pengerusi Bersatu itu juga telah mengemukakan permohonannya untuk mengemukakan usul supaya mengekalkan Mohamad Ariff sebagai speaker sehingga ke akhir penggal.

Namun, usul ini  ditolak Mohamad Ariff.