KUCHING: Pasukan Samarahan tidak berdepan masalah meraih tiga mata selepas menumpaskan ATM (5-2) pada perlawanan yang berlangsung di Padang D, Petra Jaya petang tadi.
Sentuhan penyudah Nazrul Azimee Syah Dani, Muhammad Firdaus Fauzi, Izray Iffarul Roslan, Muhd. Zarif Razali dan Azai Jasmi menerusi gol dijaringkan minit ke-21, 27, 49, 90 dan 94 menjadi penyumbang kemenangan keempat kem kendalian Ideris Untong.

Ia sekali gus, menyaksikan Samarahan merupakan calon tunggal layak ke suku akhir Zon Selatan, Liga Premier Sarawak 2026.
“Kemenangan amat bermakna bagi kami yang menjurus perolehan tiga mata seterusnya,” ujar Ideris kepada Arena Suara Sarawak.
Ideris akui, pemain berjaya menterjemah strategi yang diguna pakai dengan begitu baik sepanjang permainan.
“Memang diakui tekanan turut dirasai pemain pada awal saingan.
“Namun, situasi tersebut berjaya diatasi dengan mudah,” tambah Ideris.
Beliau menzahirkan ucapan tahniah kepada semua pemain atas kemenangan tersebut.
Apa-apa pun, Ideris berharap barisan pemainnya dapat mengekal momentum terbaik tersebut untuk perlawanan seterusnya.
Untuk perlawanan seterusnya Samarahan akan menentang Serian di gelanggang lawan pada 19 September.
Dua gol ATM dijaringkan oleh Muhammad Amirul Ashraff Zaimatuakman pada minit ketiga dan jaringan sendiri pemain pertahanan Samarahan, Fatidz Amirul Sepawi pada minit ke-87.






