SPR bersedia hadapi PRN

KUCHING: Seramai 3.8 juta rakyat Malaysia gagal mendaftar sebagai pengundi walaupun layak dari segi umur.

Menurut Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Azhar Azizan Harun, mereka yang berumur 21 tahun ke atas harus mendaftar sebagai pengundi dan disarankan untuk tidak mendaftar pada saat akhir.

Jelasnya, proses pendaftaran sebagai pengundi tidak rumit dan tidak memakan masa yang lama.

Tambah Azhar lagi, pihaknya akan mengadakan kempen secara besar-besaran untuk mengalakkan pengundi terutama dalam kalangan belia untuk mendaftar sebagai pengundi.

“Jangan tunggu saat akhir untuk mendaftar sebagai pengundi kerana ia tidak membawa sebarang keuntungan.

“Kita tidak mahu lagi mendengar isu kekecewaan tidak dapat mengundi kerana mendaftar lewat,” katanya dalam sidang media di Politenik Kuching semalam.

Dalam perkembangan sama, Azhar berkata, SPR sentiasa bersedia untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan pada masa akan datang.

Katanya, SPR hanya menunggu tarikh dan masa untuk PRN diumumkan dan rakyat Sarawak yang belum mendaftar sebagai pengundi digalakkan untuk mendaftar sebagai pengundi.

Suara Sarawak