KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu meneliti secara menyeluruh setiap petisyen yang dikemukakan berhubung Kajian Semula Persempadanan (KSP) bahagian-bahagian pilihan raya Sarawak.
Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, penelitian ini perlu dilakukan secara telus dengan mengambil kira pandangan dan representasi masyarakat yang terlibat.
“Saya harap SPR akan melihat dengan teliti petisyen yang dibuat oleh masyarakat yang terlibat dan berharap ia dibuat secara telus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita seusai menyempurnakan pelancaran Strategi Pembanterasan Rasuah Organisasi (OACS) MINTRED 2030 sempena Hari Integriti dan Inovasi MINTRED di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Sehubungan itu, beliau enggan mendedahkan jumlah bantahan yang dikemukakan oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) terhadap persempadanan semula kawasan pilihan raya negeri Sarawak.
“Ya, memang ada (bantahan yang dikemukakan),” ringkasnya.
Sementara itu, pameran syor berkenaan dimulakan pada 1 September 2026, memberi peluang kepada pihak berkepentingan mengemukakan representasi sama ada bantahan atau sokongan kepada SPR.
Tempoh pameran syor bagi KSP tersebut akan berakhir pada jam 5 petang ini (30 September).


