KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Subang tidak akan diadakan susulan peletakan jawatan penyandangnya Wong Chen sebagai Ahli Parlimen kawasan itu.
Pengerusi SPR Datuk Seri Ramlan Harun berkata keputusan itu berdasarkan Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan selepas Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Dr Johari Abdul memaklumkan tiada keperluan mengisi kekosongan berkenaan.
SPR menerima pemakluman daripada Johari melalui surat bertarikh hari ini berhubung status kekosongan luar jangka kerusi Parlimen Subang yang diisytiharkan kosong di bawah Perkara 51 Perlembagaan Persekutuan.
Johari pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini mengesahkan menerima notis rasmi peletakan jawatan Wong Chen kelmarin.
Sehubungan itu, SPR mengesahkan tiada PRK akan dijalankan bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen P.104 Subang seperti dilapor Bernama.





