ARTIKEL

SPRM S’wak syor 14 penambahbaikan tatakelola institut pengajian Islam persendirian

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: SPRM Sarawak membentangkan sebanyak 14 syor penambahbaikan tatakelola kepada pengurusan Institusi Pengajian Islam Persendirian (IPIP) di bawah Majlis Islam Sarawak (MIS) berhubung pengagihan sumbangan zakat kepada pelajar IPIP di Sarawak.

Antara syor itu ialah memasukkan kriteria pelantikan individu sebagai Nazir dalam Ordinan MIS 2001: Kaedah Kaedah Majlis Islam Sarawak (Pentadbiran Institusi Institusi Pendidikan Islam) 2024 dan mensyaratkan proses naziran hendaklah melibatkan sekurang-kurangnya tiga orang ahli Nazir.

Syor lain mewujudkan garis panduan kewangan bagi pengurusan IPIP negeri Sarawak, mewajibkan pemantauan tahunan / audit ke atas akaun IPIP serta mengadakan kursus integriti dan rasuah secara berkala kepada semua kakitangan dan pelajar IPIP di Sarawak.

Cadangan ini dilaksanakan susulan siasatan tatakelola dijalankan ke atas agensi di bawah MIS pada 2020 berhubung penyelewengan duit sumbangan Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) kepada IPIP yang berdaftar dengan MIS dan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) iaitu Madrasah Raudatul Ulum Islamiah, Kota Samarahan dengan wang zakat RM138,100 disalah guna oleh Pengerusi dan Bendahari Madrasah terbabit.

Pengarah SPRM Sarawak, Datuk Hasbilah Mohamad Salleh yang membentangkan syor itu berkata, empat isu kelemahan dikenal pasti dalam pengurusan dan pemantauan yang melibatkan pengagihan sumbangan zakat oleh TBS kepada pelajar IPIP berdaftar dengan pihak JAIS.

Beliau berkata, kelemahan ini boleh membuka ruang dan peluang berlakunya amalan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.

Sementara itu, Setiausaha MIS, Mu’al Sauad yang menyambut baik cadangan penambahbaikan itu berkata, pihaknya bersetuju mengambil tindakan penambahbaikan bagi mengatasi kelemahan yang ditemui.

“Kami amat berterima kasih kepada SPRM Sarawak kerana membantu MIS dalam usaha menutup ruang dan peluang berlakunya rasuah, salah guna kuasa dan penyelewangan,” katanya pada sesi pembentangan di di Dewan Syura, Majma’ Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, semalam.

Pada majlis itu, turut diadakan sesi menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola yang ditandatangani antara Dato Hasbilah dengan Setiausaha MIS.

Turut hadir Timbalan Yang Dipertua MIS merangkap Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Institusi Pendidikan Islam MIS, Professor Emeritus Datuk Dr. Mohamad Kadim Suadi; Timbalan Pengarah (Pencegahan) SPRM Sarawak, Wan Ahmad Nidzam Wan Omar; Ketua Cawangan Penyiasatan Tatakelola (Swasta) SPRM Sarawak, Mohd Ramzul Azim Mohammad dan wakil dari JAIS serta TBS. — Bernama

BERITA LAIN

BERITA TERBARU