ARTIKEL

Presiden SRAM Gerard Monteiro

SRAM tidak pernah lekang usaha persiap atlet ke Olimpik

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) tidak pernah lekang daripada usaha mempersiapkan ramai pemain berkaliber dalam tempoh beberapa tahun ini sebagai persediaan mengharungi Sukan Olimpik.

Presiden SRAM Gerard Monteiro berkata tumpuan mungkin dilihat terarah kepada pemain utama Ng Eain Yow dan S. Sivasangari sebagai sandaran, namun pihaknya sama sekali tidak mengetepikan peningkatan pemain muda lain yang turut mampu dijadikan taruhan pada temasya itu.

“Sekarang kita sudah ada Sivasangari dalam 10 terbaik (ranking dunia) dan menjadi matlamat kami serta beliau juga untuk mencapai ranking lapan terbaik secepat mungkin. Kami berharap beliau dapat diikuti oleh Aira Azman, Aifa Azman, Rachel Arnold untuk turut tersenarai.

“Apa yang pasti pemain ranking tertinggi akan kami hantar (ke Olimpik) dan jika yang lain agak jauh ke belakang mereka akan ke acara kelayakan. Ini bukan untuk sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) sahaja bahkan Sukan Olimpik 2032 di Brisbane, Australia,” katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) SRAM di sini hari ini.

Gerard berkata SRAM dalam masa sama membuka ruang buat pemain untuk menjalani latihan di luar negara sebagai usaha meningkatkan prestasi mereka.

“Macam Sivasangari masih di Amerika Syarikat (AS), Eain Yow dan C. Ameeshenraj di Bristol, jadi dalam kalangan empat atau enam pemain ranking tertinggi lelaki dan wanita majoriti mereka kebanyakan masa akan menjalani latihan di luar negara,” katanya.

Sementara itu, Gerard berkata pihaknya pada masa sama mengikuti rapat perkembangan legenda skuasy negara Ong Beng Hee yang membuka akademi di China dalam usaha memberi impak kepada pembangunan skuasy di negara tersebut.

“Sekarang kita ada kumpulan pemain baharu yang mampu beraksi dengan baik untuk Malaysia dalam empat hingga enam tahun akan datang. Memang betul China melaburkan banyak wang bagi sukan skuasy  untuk Olimpik dan dapatkan Beng Hee seorang daripada pemain terbaik dunia, kita akan sentiasa perhati perkembangan ini,” katanya. – BERNAMA

BERITA LAIN

BERITA TERBARU