SRDC tandatangan memorandum perjanjian dengan dua entiti

KUCHING: Lembaga Pembangunan Penyelidikan Sarawak (SRDC) hari ini menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan dua entiti, iaitu Curtin Biovalley Sdn Bhd (CBV) dan University of Cambridge, United Kingdom.

SRDC dalam satu kenyataan berkata, MoA dengan CBV bertujuan mengurus, mengendalikan dan menyelenggarakan projek perintis Pusat Penyelidikan Biovalley yang terletak di Curtin University Sarawak, di Miri.

“Projek perintis itu adalah untuk menyediakan sokongan bagi pembangunan produk baharu, membantu industri dan menyediakan perkhidmatan perintis atau perkhidmatan inkubator. Tempoh perjanjian itu adalah selama 10 tahun,” menurut kenyataan itu.

SRDC diwakili Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak, Datuk Seri Michael Manyin Jawong dan Pengurus Besar SRDC, Prof Madya Ts. Dr. Peter Morin Nissom manakala CBV diwakili dua pengarahnya, Datuk Seri Fong Joo Chung dan Azmi Bujang.

Majlis menandatangani MoA itu turut disaksikan Timbalan Pengurus Besar SRDC, Dr Ivan Yap Kok Seng dan Pengarah CBV, Freddie Panau.

Sementara itu MoA kedua membabitkan SRDC Sarawak dan University of Cambridge, United Kingdom.

Menurut kenyataan itu, SRDC akan bekerjasama dengan Cambridge Academy of Therapeutic Sciences (CATS) di University of Cambridge dalam bidang penyelidikan dan pembangunan, latihan amali pelajar dan kakitangan serta program pertukaran mobiliti antara Cambridge dan Sarawak.

“Perjanjian itu menyediakan rangka kerja untuk memudahkan dan mengembangkan kerjasama sains dan teknologi antara kedua-dua organisasi.

“Ia juga menyediakan mekanisme bagi usaha penyelidikan dan pembangunan yang memudahkan pertukaran data saintifik dan hasil, melindungi hak harta intelek dan mewujudkan perkongsian antara jabatan dan University of Cambridge serta institusi penyelidikan yang bekerjasama dengan mereka di Sarawak,” menurut SRDC.

SRDC turut diwakili Manyin dan Morin manakala University of Cambridge diwakili Pengarah CATS, Profesor Christopher Robin Lowe. – Bernama

Suara Sarawak