ARTIKEL

TIANG utama sebelah Sri Aman yang telah siap. Foto. OSMAN RAZALI

Sri Aman bakal miliki jambatan kabel tertinggi di Malaysia

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

SIMANGGANG: Jambatan Batang Lupar Dua yang diiktiraf sebagai jambatan kabel (stayed) tertinggi di Malaysia apabila siap Julai tahun hadapan turut memendekkan masa perjalanan antara Betong dan Sri Aman.

Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, jambatan berharga RM223.6 juta itu berketinggian 145.5 meter dengan panjang 870 meter.

“Ini akan menjadi mercu tanda baharu yang membanggakan orang Sri Aman kerana bukan hanya popular dengan benak, Bujang Senang, tetapi memiliki jambatan kabel tertinggi di Malaysia.

“Malah jarak perjalanan antara Betong dan Sri Aman mengambil masa kira-kira 20 minit sahaja dengan jarak 24 kilometer,” katanya ditemui media selepas meninjau tapak projek di sini, hari ini.

Kini menggunakan Lebuh Raya Pan Borneo jelasnya, jarak perjalanan Betong dan Sri Aman lebih kurang 75 kilometer mengambil masa lebih sejam.

“Saya gembira dengan status terkini projek iaitu 43.68 peratus siap, yang mana mendahului jadual.

“Saya berharap dapat disiapkan Julai 2025 kerana ia akan membuka kawasan untuk pertanian,” ujarnya.

Tambah Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan itu, tanah yang luas yang boleh dibangunkan untuk pertanian di samping aktiviti ekonomi yang lain.

Beliau menzahirkan penghargaan kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang meluluskan projek tersebut yang menjadi pemangkin perubahan kawasan luar bandar.

Menurut Uggah lagi, terdapat permohonan daripada wakil rakyat setempat agar dibina kemudahan lain di sekitar jambatan.

“Wakil rakyat mengemukakan permohonan untuk diadakan kemudahan seperti tempat parkir, kawasan rehat dan rawat mini.

“Ini memandangkan kita memikirkan apabila siap, jambatan ikonik di Sri Aman ini akan menarik ramai pengunjung,” katanya.

DOUGLAS UGGAH serta rombongan bergambar di tapak pembinaan Jambatan Batang Lupar Dua, hari ini. Foto. OSMAN RAZALI

BERITA LAIN

Mangsa tanah runtuh terima bantuan

REPOK: Mangsa-mangsa tanah runtuh di Rumah Jupong dan Rumah Augustine di sini menerima bantuan dan sumbangan khas daripada Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam,

BERITA TERBARU