KUCHING: Skuad serba mantap, Sri Aman FA mahu menjadikan pusingan akhir Liga Bola Sepak SSC-FAS 2021 sebagai pentas mencipta sejarah.
Berazam untuk menjulang kejuaraan bagi edisi pertama kejohanan yang akan berlangsung di Universiti Putra Malaysia (UPM) Kampus Bintulu bermula 28 Disember hingga 1 Januari 2022.
Pengurus pasukan Awang Putrayusrie Awang Redzuan berkata, mereka mahu mencipta sejarah tersendiri dengan cuba memastikan gelaran juara.
“Semestinya kita mahu bergelar juara untuk edisi pertama Liga SSC-FAS ini.
“Pemain sudah bersedia untuk turun mengharungi gelora sebenar kejohanan itu kelak,” ujar Awang Putrayusrie kepada Arena Suara Sarawak.
Katanya, barisan kendalian Sufian Ibrahim (Ketua Jurulatih) ketika ini giat mempersiapkan diri dengan fokus kepada meningkatkan tahap kecergasan.
Skuad Sri Aman FA itu antara pesaing yang dijangka mampu bergelar juara berikutan dibarisi ramai pemain yang pernah mewakili skuad pelapis Sarawak dan Kuching City FC (KC FC).
Pusingan akhir Liga Bola Sepak SSC-FAS 2021 melibatkan enam pasukan.
Selain Sri Aman FA, lima lagi pasukan yan akan turut berentap ialah Sarawak United FC II (SU FC II) Samarahan FA, Kapit FA, Miri FA dan Bintulu FA.