Sri Aman perlu bantuan logistik

SRI AMAN: Pihak bomba kini mengharapkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana untuk mempertimbangkan keperluan logistik utama iaitu lapan unit jengkaut bagi mempercepatkan proses memadam kebakaran seluas 70 hektar kawasan belukar di Sri Aman.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Tiga Sri Aman PgB Nik Muhammad Afiq Nik Roslan memberitahu, pihaknya kini terpaksa memadam kebakaran secara terus yang mengambil masa lama ekoran kawasan yang besar.

“Kalau ada jengkaut sekurang-kurangnya empat unit masing-masing di Kampung STC dan Kejatau-Lingga, saya yakin kerja memadam akan lebih berkesan.

“Untuk catatan semasa, di Kampung STC melibatkan belukar seluas 25 hektar, sementara Kejatau-Lingga 45 hektar,” katanya.

“Jadi, fungsi jengkaut yang kita amat perlukan ialah untuk memastikan kebakaran tidak merebak ke kawasan lain,” katanya ketika ditanya pemberita di pejabatnya dekat sini, semalam.

Suara Sarawak