
KUCHING: Jaringan tunggal Sri Pahang FC menjadi penentu kemenangan buat pasukan pelawat dalam aksi persahabatan menentang Kuching City FC di Stadium Negeri, malam tadi.
Tandukan bekas pertahanan pasukan kebangsaan, Fadzli Shas terhasil minit ke-58 menerusi hantaran lintang oleh kapten pasukan, Sergio Aguero.
Keputusan kekal (1-0) sehingga tamat masa kedua perlawanan menyaksikan tuan rumah gagal mencari jaringan penyamaan.
Aksi panas badan bermula seri (0-0) pada minit pertama perlawanan biar pun beberapa percubaan dilakukan oleh kedua-dua pasukan.
The City Boys tampak menyerlah pada awal perlawanan namun peluang untuk mencetak jaringan awal berjaya digagalkan oleh penjaga gol, Izham Tarmizi.
Bermula dengan peluang diperoleh penyerang Kuching City, Abdullah Sudi pada minit ke-18 namun tidak disudahi dengan baik selepas rembatannya mudah ditepis Izham.
Izham sekali lagi menjadi penyelamat Sri Pahang selepas berjaya menepis percubaan rembatan kencang Abu Kamara dari luar kotak penalti.
Sri Pahang nyaris membuka jaringan selepas bola lintang pemain tengah yang terkena kaki pertahanan lawan melantun ke gawang gol namun terkena tiang sebelah kanan sebelum wisel masa pertama perlawanan dibunyikan.
Gawang tuan rumah akhirnya dibolosi sejurus selepas pertahanan import Ayton Alemao Ferreira digantikan dengan Arham Khussyairi.