KUCHING: Mahkamah Majistret di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan terhadap seorang lelaki warga Indonesia atas kesalahan membantu menyembunyikan motosikal curi di hadapan reban ayam, Jalan Batu Kawa, Disember tahun lalu.
Tertuduh Arie Gunawan, 20, dari Merendeng, Kalimantan Barat mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan dibacakan di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa sengaja menyembunyikan harta curi itu di hadapan sebuah reban ayam, Jalan Batu Kawa, Kira-kira jam 3.30 petang, 22 Disember 2022.
Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara minimum enam bulan dan tidak melebihi tujuh tahun serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman berkuat kuasa dari tarikh tangkap pada 12 Januari lalu, selain memerintahkan tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) setelah tamat menjalani hukuman.
Menurut fakta kes, pengadu merupakan pemilik motosikal berusia 45 tahun membuat laporan polis selepas motosikalnya yang berkunci diletakkan di Moyan Square hilang dicuri orang.
Hasil siasatan mendapati tertuduh membantu menyembunyikan sebuah motosikal curi milik pengadu.
Sementara itu, di mahkamah yang sama, tertuduh turut mengaku bersalah atas kesalahan yang sama membantu menyembunyikan sebuah motosikal curi milik seorang lelaki berusia.
Oleh itu, Syarifah menetapkan Arie dijatuhi hukuman penjara enam bulan mulai dari tarikh dia ditangkap 12 Januari lalu.
Dia melakukan kesalahan itu di tempat yang sama pada hari yang sama, sekitar jam 11.45 pagi.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.