ARTIKEL

Foto BERNAMA

Starlink bantu Orang Asli Sungai Temon tingkat taraf pendidikan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOHOR BAHRU: Penduduk Kampung Orang Asli Sungai Temon di sini menyifatkan pemasangan peranti satelit Starlink di kampung itu membantu mereka meningkatkan taraf pendidikan anak-anak seiring dengan arus pembangunan.

Tok Batin Kampung Orang Asli Sungai Temon, Salim Palon berkata inisiatif tersebut amat dinanti-nantikan penduduk khususnya golongan muda memandangkan sering mengalami gangguan untuk mengakses Internet kerana kedudukan kampung itu berdekatan dengan Singapura.

“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan terhadap usaha yang dilakukan dan sekurang-kurangnya memberi semangat baharu dan menarik minat anak-anak di kampung ini untuk belajar serta mahir dalam ilmu sains dan teknologi.

“Sebelum ini, capaian Internet memang susah nak dapat dan kadang-kadang mahu berbual menerusi telefon pun susah akibat talian akan bersambung dengan frekuensi negara jiran kerana capaian frekuensi mereka lebih kuat,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau yang memimpin masyarakat Orang Asli suku Seletar di Sungai Temon hampir 40 tahun berkata inisiatif pemasangan itu membuktikan kerajaan Persekutuan tidak meminggirkan kebajikan dan pendidikan masyarakat Orang Asli. 

Baca lain  Program Setahun Madani dedah pelaksanaan, pencapaian dan kejayaan Kerajaan Perpaduan

“Sebelum ini, ada beberapa anak-anak dibekalkan komputer riba, tetapi disebabkan tidak dapat akses Internet, komputer riba itu terperuk menjadi ‘besi buruk’, malah ada juga penduduk terpaksa menumpang data orang lain atau pergi ke darat (bandar) untuk Internet yang lancar,” katanya.

Salim berkata peranti satelit yang dipasang di dewan serbaguna kampung itu bukan sahaja demi kepentingan pendidikan anak-anak, malah telah memudahkan penduduk untuk berhubung antara satu sama lain termasuk pihak berkuasa terutamanya apabila berlaku kecemasan.

Menurut Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Johor, Orang Asli Seletar merupakan antara suku yang terdapat dalam kumpulan Melayu Proto dan mereka adalah kumpulan pengembara persisiran pantai dan laut yang tinggal di pulau, persisiran pantai serta kuala sungai.

Sehingga kini, seramai 289 penduduk daripada 74 keluarga menetap di Kampung Orang Asli Sungai Temon dengan majoriti pekerjaan penduduk termasuk wanita adalah nelayan.

Sementara itu, Yang Dipertua Badan Kebajikan Orang Asli Islam Semenanjung Malaysia (BKOA) Datuk Isa Ab Hamid berkata peranti satelit itu dapat mengurangkan jurang digital sekali gus melahirkan lebih ramai masyarakat Orang Asli celik teknologi.

Baca lain  Kebebasan media perlu bersandarkan Perlembagaan, Rukun Negara-Pakar

“Kemudahan ini akan memberi peluang kepada anak-anak Orang Asli mendalami ilmu pengetahuan kerana ramai dalam kalangan mereka yang tercicir dari aspek pendidikan, malah ia turut membantu guru-guru tuisyen untuk mencari bahan ketika mengajar di kampung tersebut.

“Bukan itu sahaja, dengan adanya akses Internet yang pantas, masyarakat Orang Asli Sungai Temon yang rata-ratanya nelayan dapat mempromosikan hasil laut dan produk berasaskan perikanan secara dalam talian sekali gus meningkatkan taraf ekonomi mereka,” kata bekas Ahli Dewan Negara yang mewakili masyarakat Orang Asli itu.

Pada Sabtu lepas, dilaporkan usaha Kementerian Komunikasi dan Digital menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memasang peranti tersebut di Kampung Orang Asli Sungai Temon berjaya menyelesaikan masalah capaian Internet dihadapi sebelum ini.

Ia merupakan peranti ketiga melibatkan pemasangan di perkampungan Orang Asli selepas di Kampung Orang Asli Kemensah, Gombak di Selangor dan Kampung Orang Asli Tonggang, Tambun di Perak. – BERNAMA

BERITA LAIN

BERITA TERBARU