ARTIKEL

Chang Guan (barisan hadapan, duduk tengah) bergambar bersama peserta lain pada majlis makan tengah hari rangkaian 'Singapore-Sarawak Travel Connect 2024' di sini, hari ini.

STATOS sasar pasaran luar Singapura, khususnya China, menjelang 2025

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pejabat Pelancongan dan Perdagangan Sarawak di Singapura (STATOS) kini mensasarkan pasaran di luar Singapura menjelang 2025, dengan fokus utamanya bandar-bandar di China.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) STATOS, Chew Chang Guan, berkata bahawa sasaran ini dapat direalisasikan dengan adanya perkhidmatan sambungan syarikat penerbangan Scoot Airlines dan Singapore Airlines.

“Dengan pilihan transit yang lancar di Singapura serta perjalanan tanpa visa bagi warga negara China ke Singapura dan Malaysia, STATOS melihat peluang besar untuk menembusi pasaran ini.

“Langkah ini diambil sebagai usaha untuk memperluas pengaruh perdagangan dan pelancongan Sarawak, di samping menarik lebih ramai pelabur dan pelancong dari China ke Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan tengah hari rangkaian ‘Singapore-Sarawak Travel Connect 2024’ di sini, hari ini.

Jelas Chang Guan, lima tahun yang lalu, STATOS secara strategik telah mempromosikan pelbagai wilayah di Sarawak, iaitu Kuching, Sibu, Miri dan Mulu, yang masing-masing mempunyai daya tarikan tersendiri.

Katanya, apa yang menyatukan mereka adalah reputasi Sarawak sebagai syurga gastronomi, yang sangat sesuai dengan minat warga Singapura terhadap makanan.

“Ditambah dengan kadar pertukaran yang menguntungkan, Sarawak menjadi destinasi menarik untuk membeli hasil tempatan.

“Saya dimaklumkan bahawa seorang pelancong dari Singapura baru-baru ini membeli udang kering bernilai lebih RM10,000 di Sibu untuk dibawa pulang (Singapura). Itu adalah sesuatu yang luar biasa,” ujarnya.

Melangkah ke tahun 2025, ujar Chang Guan, STATOS berhasrat untuk mempergiatkan usaha memperkenalkan lebih banyak lagi tentang Sarawak kepada segmen pasaran baharu.

“Matlamat kami bukan sahaja untuk mengundang pelawat bagi tujuan pembelajaran tetapi juga untuk mewujudkan hubungan bermakna dengan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan, persatuan, kelab, institusi dan agensi kerajaan.

“Ini memerlukan kita semua untuk memainkan peranan penting dalam menghubungkan mereka dengan pihak yang sesuai, melangkaui produk pelancongan tradisional,” katanya.

Majlis itu menyaksikan penyertaan 80 peneraju industri dan profesional pelancongan dari kedua-dua wilayah (Sarawak dan Singapura).

BERITA LAIN

BERITA TERBARU