KUCHING: Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak Singapura (Statos) bakal menyediakan Skim Bantuan Promosi Statos (PASS) kira-kira RM30,000 (SGD10,000) kepada syarikat baharu dan kecil di negeri ini.
Menurut kenyataan STATOS hari ini, skim tersebut disediakan bagi mengembangkan perniagaan usahawan tempatan ke Singapura sekali gus menggalakkan perdagangan, pelaburan dan pelancongan di Sarawak.
“Skim tersebut merupakan program bantuan kewangan utama Kerajaan Sarawak untuk perniagaan eksport kecil dan sederhana yang bercita-cita tinggi dan boleh berkembang.

“Syarikat yang layak adalah yang mempunyai bajet promosi eksport berkaitan pembangunan produk untuk memperoleh penerimaan di Singapura.
“Statos turut mengalu-alukan syarikat yang sedang mencari sumber seperti tanah yang sesuai untuk pelancongan, pertanian, pembuatan atau mana-mana aktiviti hiliran yang lain,” kata kenyataan itu.
Sehubungan itu, program jerayawara bakal diadakan di Miri, Bintulu dan Kuching untuk mencari syarikat baharu dan kecil yang mempunyai produk baik untuk meneroka pasaran eksport di Singapura.
Jerayawara itu akan diadakan di Pullman Hotel Miri pada 6 Mac, Fairfield Hotel Bintulu pada 8 Mac dan Imperial Hotel Kuching pada 10 Mac depan dari jam 10 pagi hingga 4 petang.
Untuk makluman lanjut, sila layari https://statos.com.sg/event/statos-roadshows-2023/. –