KUCHING: Kerajaan Persekutuan perlu melihat lebih mendalam sebelum melaksanakan kaedah baharu Rakan Pelaksana Projek (PDP) Lebuh Raya Pan Borneo.
Menurut Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, ia memandangkan pelaksanaan projek Lebuh Raya Pan Borneo khususnya di Sarawak berjalan baik.
“Projek inidi bawah Kerajaan Persekutuan, mereka memutuskannya tetapi hendaklah dilihat daripada beberapa sudut sebab pembinaan Pan Borneo sudah hampir mencecah 70 peratus siap.
“Dari sanalah mereka harus melihat bagaimana, sama ada meneruskan PDP atau apa juga cara lain,” katanya sambil menambah sudah dihubungi oleh Kerajaan Persekutuan bagi memaklumkan mengenai keputusan tersebut.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui semasa mengunjungi Rumah Terbuka Aidilfitri Datuk Seri Fadillah Yusof di Kompleks CIDB Wilayah Sarawak di sini, semalam.
Beliau mengulas laporan bahawa Menteri Kerja Raya Baru Bian akan mengumumkan kaedah baharu PDP Lebuh Raya Pan Bor- neo dalam masa terdekat.
Sementara itu, Fadillah menegaskan bahawa sekiranya Kerajaan Persekutuan mahu menggantikan PDP sedia ada, maka ia mestilah kepada yang lebih baik.
“Saya kira mereka patut melihat keseluruhan konteks. Kalau nak wujudkan PDP baharu, pertama mereka kena memahami bahawa dari segi rekaan dan kajian keseluruhan dibuat oleh PDP sedia ada dulu.
“Dan, kalau mereka nak gantikan PDP sedia ada, mestilah kepada lebih baik supaya nanti tidak merugikan kerajaan dan memberi kesan kepada pelaksanaan projek iaitu dari segi pemantauan, kualiti, sudut keselamatan dan sebagainya,” katanya.
Menjelas lanjut, bekas Menteri Kerja Raya itu berkata sekiranya PDP sedia ada dibatalkan bagi melantik mana-mana pihak baharu, maka ia akan memberi kesan kepada kerajaan dari segi pembayaran pampasan.
Katanya ia kerana terdapat perjanjian yang sudah ditandatangani oleh Kerajaan Persekutuan sebelum ini dengan PDP sedia ada.
Bagaimanapun, beliau tidak dapat memberi anggaran pampasan yang bakal ditanggung Kerajaan Persekutuan, sekiranya membatalkan PDP sedia ada.
“Pada masa ini, saya melihat PDP sedia ada sudah melaksanakan kerja dengan baik, mereka sudah mencapai lebih 50 pera- tus, dua pakej sudah pun siap dan meneruskan apa ditetapkan dahulu.
“Tapi saya serahkan kepada kerajaan yang ada, khususnya Baru Bian selaku menteri bertanggungjawab…keutamaan ialah memastikan projek siap pada waktu yang ditetapkan mengikut kualiti dan pada kadar kos yang ditetapkan,” katanya.
Fadillah juga berkata sekiranya Kerajaan Persekutuan ingin mengurangkan kos dalam pelaksanaan Lebuh Raya Pan Borneo, ia boleh dirunding dengan PDP sedia ada.
Di bawah pentadbiran kerajaan lepas, Lebuh Raya Borneo Utara Sdn Bhd dilantik sebagai PDP bagi menguruskan projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak yang menelan kos RM16 bilion.
Fasa pertama projek di Sarawak dari Telok Melano ke Merapok, dengan jarak sejauh 1,060 kilometer dijangka siap sepenuhnya menjelang 2021