STEP tawar dana biaya kos pendidikan pelajar kurang berkemampuan

KUALA LUMPUR: Program Simpanan Amanah Pendidikan (STEP) Yayasan Bank Rakyat, yang dilancarkan hari ini, bakal menjadi satu lagi platform kepada pelajar, mahasiswa dan siswazah kurang berkemampuan untuk mendapatkan dana bagi membiayai kos pendidikan mereka.

Pengerusi Yayasan Bank Rakyat Datuk Noripah Kamso berkata pemohon yang berkelayakan, hanya perlu melayari www.yayasanbankrakyat.com.my dan www.step.yayasanbankrakyat.com.my bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai program hasil kerjasama melalui Bank Rakyat itu.

“STEP menawarkan peluang dengan menyediakan geran dan bantuan untuk pelajar yang sering diabai dan ketinggalan, ini juga Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) kami terhadap mereka,” katanya selepas pelancaran STEP oleh Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof di sini hari ini.

Beliau turut menjelaskan menerusi STEP, Yayasan Bank Rakyat menetapkan sasaran penerimaan sumbangan sebanyak RM21 juta untuk tempoh lima tahun akan datang bagi menyediakan peluang pendidikan kepada lebih 400,000 rakyat Malaysia yang memerlukan pendidikan berkualiti.

Noripah menjelaskan, STEP diwujudkan bagi mengumpulkan dermawan yang dapat menyumbang dana melaluinya seterusnya membantu membangunkan negara melalui pendidikan.

“Semua sumbangan kepada STEP dikekalkan dan dilaburkan sebagai pelaburan kekal dengan hanya pendapatan dari hibah yang dijana melalui wang sumbangan akan diguna pakai,” katanya.

Terdahulu dalam ucapan pelancaran, Mohd Redzuan berkata inisiatif itu menzahirkan keprihatinan kerajaan melalui Bank Rakyat dan Yayasan Bank Rakyat untuk membuka peluang pendidikan sama rata kepada semua tanpa mengira latar sosio mereka.

“Yayasan Bank Rakyat sendiri telah menyuntik dana RM3 juta untuk STEP, manakala derma dan pembiayaan (dari syarikat korporat dan orang ramai) di bawah STEP dirancang untuk membantu pelajar yang layak serta tidak ada rekod bantuan kewangan sebelum ini.

“Adalah penting bagi rakyat Malaysia mempunyai asas pendidikan kukuh (tanpa ada gangguan kekangan kewangan) sekali gus mampu menjadikan mereka usahawan unggul sekiranya ingin menceburi bidang itu selaras dengan Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) 2030,” tambahnya.

Suara Sarawak