Trending

Stesen Minyak Aidra Service Sdn Bhd menang anugerah Tandas Awam Bersih 2022

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

KUCHING: Stesen Minyak Aidra Service Sdn Bhd telah memenangi tempat pertama sekali gus merangkul Anugerah Tandas Awam Bersih 2022 kategori Stesen Minyak yang dianjur Majlis Perbandaran Padawan (MPP) di bawah pentadbirannya.

Pengerusi MPP Lo Khere Chiang berkata, pertandingan yang melibatkan lapan stesen minyak tersebut bertujuan membudayakan penjagaan tandas yang bersih, selamat dan selesa untuk orang ramai.

Katanya, pertandingan ini bertujuan menggalakkan masyarakat di bawah bidang kuasa MPP untuk bersama menjaga tandas awam tidak kira di mana mereka berada.

“Kita harus menjaga kebersihan tandas awam kerana ini akan memberi manfaat kepada semua masyarakat untuk menggunakan tandas awam yang selesa dan kondusif apabila datang ke stesen minyak.

“Dalam masa yang sama, ia bertujuan mendidik dan memupuk amalan kebersihan dalam masyarakat serta menyemai kesedaran masyarakat tentang kepentingan kebersihan tandas awam,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada majlis penyampaian hadiah sempena Pertandingan Tandas Bersih Kategori Stesen Minyak 2022 di Bilik Komiti Aras 2, MPP, hari ini.

Beliau dalam masa yang sama menyeru segelintir individu untuk menghentikan tabiat menconteng di dinding tandas.

“Agak menyedihkan apabila terdapat segelintir orang yang tidak bermoral menjadikan dinding tandas sebagai tempat menghasilkan karya mereka seperti melukis dan menulis.

“Golongan ini hendaklah menghentikan tabiat menconteng di dinding tandas kerana ini akan menyebabkan tandas kelihatan kotor,” ujarnya.

Dalam pertandingan tersendiri, tempat kedua dimenangi Stesen Minyak Sevendays dan tempat ketiga dimenangi Stesen Minyak Ishosu Sdn Bhd.

Selain membawa pulang wang tunai dan sijil penghargaan, stesen minyak ini turut diberi penarafan berdasarkan ‘Garis Panduan Penarafan Bintang untuk Kebersihan Tandas Awam di Kawasan Pihak Berkuasa Tempatan’ yang dikeluarkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Antara kriteria penilaian adalah persekitaran tandas yang, bersih, selesa dan selamat; tandas berasingan lelaki, perempuan serta orang kelainan upaya (OKU); mesra pengguna; tahan lasak dan tidak mudah rosak; mempunyai pencahayaan dan pengudaraan dan mempunyai kemudahan yang sesuai untuk semua peringkat umur.

Hadir sama dalam majlis tersebut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Awam, Alam Sekitar dan Perkhidmatan Majlis Datuk Ahmad Ibrahim.

Lo Khere Chiang (berbaju kuning) bergambar bersama wakil Stesen Minyak di bawah pentadbiran MPP dalam majlis penyampaian hadiah sempena Pertandingan Tandas Bersih Kategori Stesen Minyak 2022, hari ini.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

26 November 2023

Berita Terbaru