
KOTA SAMARAHAN: Projek Stesen Pam Penggalak Batang Samarahan baharu di bawah Pakej 1D yang siap dibina pada Mac lalu memberikan manfaat kepada lebih 85,000 penduduk di bahagian ini.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, projek tersebut adalah salah salu stesen penggalak terbesar yang dibina di Sarawak dan menelan belanja kira-kira RM23.2 juta.

Menurutnya, projek yang merupakan antara komponen utama Sistem Grid Bekalan Air Sarawak itu juga memberi impak kepada penduduk di kawasan Asajaya, Sadong Jaya, Sebangan, Sebuyau dan Simunjan.
“Stesen pam penggalak ini diperlukan kerana kita ingin memastikan bekalan air bersih mencukupi, dibawa ke jarak yang agak jauh ke Simunjan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mewakili Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi menyempurnakan simbolik perasmian Stesen Pam Penggalak Samarahan di sini, hari ini.
Tambahnya, skop projek ini melibatkan pembinaan stesen pam penggalak berkapasiti 46 juta liter sehari, pembinaan tangki simpanan air berkapasiti 7.5 juta liter, pelaksanaan sistem “electro chlorination” serta kerja-kerja berkaitan.
Hadir sama Adun Muara Tuang Datuk Idris Buang; Calon GPS Parlimen Kota Samarahan Datuk Rubiah Wang; Pengarah JBALB Ir. Chang Kuet Shian; Pegawai Daerah Samarahan Annuar Da’an serta wakil yang lain.