KUCHING: Stesen radio KUPIKUPI FM Sarawak dapat membantu mempromosikan etnik-etnik yang terdapat di Sarawak sekali gus mengangkat keunikan Bumi Kenyalang yang kaya dengan pelbagai bahasa.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Snowdan Lawan berkata, stesen radio tersebut dapat memberi peluang kepada orang ramai untuk mengetahui bahasa semua etnik yang ada di Sarawak.

“Menggunakan stesen radio ini, kita dapat memberi peluang kepada subetnik yang lain untuk bersiaran bersama penyampai radio di KUPIKUPI FM Sarawak untuk kita memberitahu orang ramai bahawa terdapat 31 etnik di negeri ini.
“Bukan etnik majoriti sahaja kerana kemungkinan ramai golongan muda masa kini tidak mengetahui subetnik yang lain ataupun bagaimana bahasa yang digunakan oleh mereka,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran KUPIKUPI FM Sarawak di sini, hari ini.
Sehubungan itu Snowdan mencadangkan agar stesen radio tersebut mengadakan satu segmen untuk mengetengahkan etnik-etnik yang jarang diketahui umum di Sarawak.
Katanya, tujuannya supaya golongan muda mengetahui tentang beberapa etnik tersebut yang sememangnya ada di Sarawak.
“Mungkin mereka pernah melihat beberapa entik dalam buku, Google dan sebagainya tetapi sudah tentu mereka belum pernah mendengar golongan etnik-etnik tersebut berkomunikasi.
“Justeru pihak stesen radio KUPIKUPI FM boleh mengambil peluang ini untuk memberi pendidikan kepada anak muda supaya mereka tahu banyak lagi tentang etnik yang wujud di Sarawak,” katanya.
Dengan misi perpaduan Borneo, KUPIKUPI FM SARAWAK yang ke udara menerusi frekuensi 92.5 Mhz membawakan kepada pendengar perjalanan muzik tempatan serta informasi terkini di Sarawak.
Selain itu KUPIKUPI FM Sarawak juga memberi inspirasi kepada pendengar dengan identiti tempatan yang menampilkan slogan ‘Sama Dirik Pok’.
Antara enam penyampai radio KUPIKUPI FM adalah Ezmir Sadriq, Jalee, Wena, Maria, Leez, dan Abang Lan yang akan menghiburkan pendengar setiap hari.
Hadir sama Pengurus Besar KUPIKUPI FM, Lester Calvin Miol, Pengasas dan Pengarah Bersama OOGA X, Fui K Soong serta Pengurus KUPIKUPI FM Sarawak, Gideon Jute.