KUCHING: Kebanyakan kilang kayu secara kecil-kecilan di kawasan luar bandar yang telah beroperasi sekian lama tidak mempunyai permit sementara, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili Dr Johnical Rayong Ngipa.
Menurutnya, ia kerana kilang yang memproses kayu untuk kegunaan domestik khususnya bagi kawasan luar bandar itu sukar untuk mendapatkan permit sementara walaupun mereka telah memohon berkali-kali daripada Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (STIDC).
“Oleh itu saya merayu kepada pihak STIDC supaya membantu kilang-kilang kecil yang sedia ada di kawasan luar bandar untuk mendapatkan permit sementara supaya mereka dapat terus beroperasi untuk kebaikan masyarakat di kawasan luar bandar.

“Saya difahamkan oleh mereka bahawa pihak STIDC amat tidak prihatin terhadap permohonan mereka untuk mendapatkan permit selama ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) (Pindaan) Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak, 2022 yang dibentangkan oleh Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
RUU itu bertujuan meminda Ordinan Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak, 1973, (Ordinan No.3 Tahun 1979) untuk membuat peruntukan yang lebih baik bagi pengurusan industri perkayuan di Sarawak melalui pengeluaran Lesen Perindustrian Kayu bagi membolehkan STIDC untuk mengawal selia sepenuhnya industri perkayuan termasuk penubuhan dan operasi kilang papan yang sebelum ini dikawal selia di bawah Ordinan Hutan 2015.
Ia juga untuk menambah peruntukan bagi meningkatkan kuasa penguatkuasaan di bawah Ordinan STIDC.
Dalam pada itu, Rayong menegaskan kewujudan kilang untuk memproses kayu kegunaan domestik amat diperlukan bagi kawasan luar bandar.
“Masyarakat luar bandar memerlukan kilang-kilang kecil untuk mendapatkan sumber kayu sebagai kegunaan membina rumah.
“Ini disebabkan sumber keperluan mereka adalah terhad untuk mendapatkan sumber kayu, malah kos untuk membeli hasil kayu yang telah diproses dari kilang-kilang kecil adalah lebih murah berbanding daripada mereka membeli di kilang besar,” katanya.
Justeru, beliau meminta STIDC agar membantu perusahaan kilang kayu secara kecil-kecilan untuk mendapatkan permit sementara dan tidak menghalang mereka untuk mendapatkan permit berkenaan.
“Kerajaan harus memahami keperluan kilang-kilang kayu kecil di kawasan luar bandar atas keperluan mereka untuk penggunaan domestik sahaja dan bukan untuk operasi secara komersial,” katanya.
Sementara, Len ketika memberi maklum balas kepada Rayong berkata di bawah klausa 5C (1), Pengurus Besar STIDC diberi kuasa untuk mengeluarkan permit sementara bagi memproses barangan kayu untuk kegunaan komuniti tempatan.
“Ini akan mempercepatkan pengeluaran permit sementara asalkan ia mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.
“Dalam masa sama, penguatkuasaan akan dapat dipertingkatkan,” katanya.