Stok bawang India kurang

KUCHING: Susulan bawang India mengalami peningkatan harga yang tinggi, hasil jualan peniaga turut terjejas malah memberi kesan kepada pengguna.
Tinjauan Suara Sarawak mendapati ramai peniaga yang mengalami masalah kenaikan harga bawang dan kekurangan pembekal untuk bawang jenis ini, sekali gus menyebabkan hasil jualan bawang agak terhad.
Menurut peniaga kedai runcit Sanuyah Narawi, 74, buat masa ini, harga bawang merah India yang diperoleh daripada pembekal agak mahal.
“Saya tidak dapat menafikan perkara tersebut kerana antara punca kenaikan harga bawang di kedai saya adalah disebabkan kurangnya bekalan bawang merah India daripada pembekal,” katanya.
Jelasnya, dia terpaksa menjual bawang pada harga yang tinggi berdasarkan jumlah bawang yang diperoleh daripada pembekal.

SANUYAH NARAWI

“Ramai juga pengguna merungut, namun saya pun tidak boleh buat apa-apa kerana harganya memang melonjak naik ketika diperoleh daripada pembekal.
“Keadaan ini memang akan dialami oleh mana-mana peniaga yang menjual bawang ini.
Justeru kita hanya menjual barangan berdasarkan harga yang kita peroleh,” katanya lagi.
Menurut Sanah Lanjo, 64, kedai runcit yang diusahakannya sudah terputus bekalan bawang India sejak seminggu lalu.
“Yang sampai pun sangat sikit berbanding dahulu.
“Walaupun bawang ini mengalami peningkatan harga, aktiviti penjualan bawang merah India di kedai ini sangat cepat habis, kemungkinan banjir yang berlaku dan penduduk kampung tiada pilihan lain selain menggunakan bawang India.
“Walaupun kita tahu bahawa bawang merah India merupakan antara bawang yang amat disukai pelanggan, namun ramai juga yang berpendapat bahawa mereka perlu memilih bawang dari China, Pakistan atau Belanda yang harganya tidak berubah dan tidak perlu membeli bawang dari India yang jauh lebih mahal,” katanya.
Jelas Sanah, mungkin pada masa akan datang, sekiranya harga bawang masih meningkat daripada pembekal, kemungkinan akan dipertimbangkan semula atau hanya mengambil bawang Belanda untuk dijual.
Dalam pada itu, tinjauan Suara Sarawak di pasar raya di bandar ini mendapati bawang India masih dijual dengan harga RM16.99 sekilogram manakala bawang Bombay dijual RM3.50 sekilogram.
SANAH LANJO