Stor penyimpanan minuman keras tidak bercukai diserbu

SRI AMAN: Seorang lelaki tempatan ditahan bagi membantu siasatan terhadap penemuan minuman keras pelbagai jenis tidak bercukai di dalam sebuah stor premis di Taman Srijaya semalam.

Suspek, 45, ditangkap ketika premis itu diserbu oleh sepasukan anggota Pasukan Polis Marin sempena Op Benteng Covid-19 (Landai) sekitar jam 2.30 petang.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Lima (PPM W5) Sarawak ACP Shamsol Kassim berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati stor premis terbabit dijadikan bilik untuk menyimpan minuman keras.

Menurutnya, suspek yang mengaku sebagai pemilik premis gagal menunjukkan sebarang dokumen dari pihak Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sebagai bukti bahawa barangan tersebut mempunyai cukai yang sah.

“Kesemua minuman keras pelbagai jenis yang tidak bercukai itu dianggarkan berjumlah RM75,504.15,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shamsol menambah, suspek bersama barang-barang rampasan telah pun diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Sri Aman untuk tindakan siasatan lanjut.

Ujarnya, kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967.

. LUMAYAN…Kotak minuman keras yang disusun di dalam stor