Strategi ekonomi PH kurang jelas

KUCHING: Strategi ekonomi yang kurang jelas oleh Kerajaan Persekutuan menyebabkan Malaysia kehilangan peluang ekonomi dari luar. Presiden Persekutuan Persatuan Cina Datuk Richard Wee berkata, negara-negara jiran mengambil kesempatan melalui perang perdagangan ini.

“Mereka mendapatkan manfaat daripadanya sedangkan Malaysia tidak memanfaatkannya dengan baik kerana inisiatif dan pengalaman serta sambutan perlahan daripada Kerajaan Persekutuan.

“Secara tidak langsung, semua perkara ini mempengaruhi usaha kita sendiri untuk mengembangkan Sarawak. “Sarawak kini sedang mengalami pertumbuhan yang perlahan serta terdapat penurunan dalam pelbagai sektor daripada segi ekonomi,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam Forum Talking About What Really Matters di Bangunan Chemsain,di sini malam semalam. Tambah Wee, beliau percaya landskap perniagaan baharu di Sarawak akan berteraskan inisiatif ekonomi baharu dan kebebasan kewangan.

Menurut beliau, Kerajaan Sarawak tidak dapat bebas sepenuhnya daripada dasar monetari dan fiskal kerana ia ditentukan Kerajaan Persekutuan.

“Polisi ini mempengaruhi keseluruhan landskap perniagaan di Malaysia, dan Sarawak juga tidak terkecuali,” jelasnya. Beliau menambah bahawa keseluruhan persekitaran perniagaan di Sarawak turut terjejas apabila negara menghadapi krisis kewangan atau ekonomi.

Katanya lagi, Kerajaan Sarawak mengambil pendekatan dan inisiatif yang berbeza untuk menguruskan ekonomi di negeri ini.

“Oleh itu, kita boleh bergantung kepada inisiatif ekonomi Kerajaan Sarawak dalam dasar fiskal yang diperluaskan. “Ia termasuk mencari aliran pendapatan baharu dan tambahan serta merangkul teknologi untuk merangsang ekonomi kita,” katanya.

Beliau berkata dengan pelaksanaan strategi sedemikian, Sarawak akan dapat mencapai kebebasan kewangan seterusnya menjejaki perkembangan keseluruhan negara tanpa bergantung kepada geran dan peruntukan Kerajaan Persekutuan yang tidak menentu.

Suara Sarawak