Strategi Sarawak kurangkan kes

KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) komited menerapkan strategi untuk mengekang penularan wabak Covid-19 di negeri ini ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, awal Februari lalu, JPBN mewajibkan semua pelancong yang masuk ke Sarawak mengisi Borang Deklarasi Kesihatan (kini-Borang Pengisytiharan E-Kesihatan) sebelum PKP dikuatkuasakan lagi.

“Pada 25 Februari lepas, kami melarang kemasukan warga asing ke Sarawak, sementara rakyat Sarawak dari luar negara wajib menjalani kuarantin selama 14 hari untuk mengelakkan kes import berlaku. “Semua rakyat Sarawak yang pulang dari luar negeri (Semenanjung, Labuan dan Sabah) diwajibkan menjalani kuarantin selama dua minggu. Kini mereka hanya perlu menjalani kuarantin di rumah,” katanya pada Persidangan Dun Sarawak di sini, kelmarin.

Uggah yang juga Pengerusi JPBN berkata, pemeriksaan juga dilakukan terhadap kakitangan perkhidmatan penting dan bukan penting menggunakan protokol berbeza. “Hal itu termasuk meningkatkan kapasiti saringan dengan mem- buka pusat saringan serta ujian pandu lalu dan banyak lagi,” ujarnya.

Beliau memberitahu, JPBN juga menubuhkan Jawatankuasa Keselamatan Sempadan yang diketuai oleh Tan Sri Dr James Jemut Masing dan Jawatankuasa  Bantuan Makanan diketuai oleh Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

“Tugas mereka adalah memantau bekalan makanan dan merumuskan strategi untuk mengedarkan makanan bagi memastikan orang Sarawak yang terjejas mendapat akses kepada bekalan makanan,” jelasnya.

Menurutnya, empat pasukan petugas yang menyelaras keseluruhan operasi yang dipimpin oleh ahli profesional penjagaan kesihatan bertugas memantau, menganalisis, melapor serta fokus kepada beberapa perkara.

Menurut Uggah, antara perkara itu ialah Latihan Pengesanan Hubungan Aktif yang diketuai oleh Dr. Jamilah Hashim; Mencegah dan Mengawal Gelombang Seterusnya serta Real-time Analysis of Data mengenai Covid19 diketuai oleh Datuk Dr Andrew Kiyu dan Rancangan Kesediaan untuk Gelombang Besar yang diketuai oleh Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.

“Strategi ini telah membolehkan kami mengurangkan jumlah kes secara berperingkat-peringkat termasuk merancang langkah seterusnya,” katanya lagi.

Suara Sarawak