Struktur semula operasi sekolah

KUCHING: Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) menggesa pihak bertanggungjawab menstruktur semula operasi sekolah khususnya di kawasan zon merah. Presiden KGBS Ahmad Malie berkata, pihaknya menyokong pembukaan semula sesi persekolahan setelah cuti pertengahan penggal pertama selama seminggu.

“Bagaimanapun, pihak berwajib perlu melihat semula bagaimana sekolah-sekolah khususnya di kawasan zon merah akan dilaksanakan. “Sekiranya terdapat keperluan untuk dilaksanakan secara bergilir-gilir terutama bagi sekolah yang mempunyai enrolmen yang tinggi, kami (KGBS) amat menyokong perkara tersebut,” katanya kepada Suara Sarawak, semalam.

Tambahnya, KGBS juga menyokong dan memuji tindakan proaktif Penyelaras Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu yang juga Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dr Annuar Rapaee yang mengumumkan semua sekolah menengah dan rendah di Bahagian Sibu akan dilaksanakan secara penggiliran selama empat minggu apabila sesi persekolahan mula dibuka semula hari ini.

Menurut beliau, ia adalah usaha dan langkah untuk mengekang penularan pandemik Covid-19. Ahmad memberitahu, dengan tindakan sedemikian KGBS percaya ia dapat mengurangkan kesesakan murid serta mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 dalam kalangan warga sekolah.

“Justeru, sekiranya terdapat zon lain yang berstatus merah dan kes Covid-19 berada pada tahap membimbangkan, adalah wajar untuk sekolah mengikut langkah yang dilaksanakan di Bahagian Sibu.

“Bagi kami (KGBS), ia merupakan langkah terbaik demi keselamatan warga sekolah daripada jangkitan Covid-19 ini,” ujarnya. Beliau menambah, ia hanya wajar dilaksanakan di kawasan merah. “Jika keadaan zon masih terkawal, sesi persekolahan perlu dilaksanakan seperti biasa,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan KGBS turut mengingatkan walau dalam apa-apa kaedah persekolahan dilaksanakan, pihaknya berharap agar semua pihak dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) tanpa gagal.

“Jangan alpa dengan SOP, sama-samalah kita mendisiplinkan diri dengan mengamalkan SOP sebagai amalan hidup kita dalam era norma baharu ini,” tegasnya.

Suara Sarawak