KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg akan mengumumkan penggunaan kuasa hidrogen dengan lebih meluas di Sarawak dalam bulan ini.
Malah, katanya, terdapat syarikat korporat yang berminat untuk melabur dalam kuasa hidrogen di negeri ini.
“Dunia kini bergerak ke arah penggunaan kuasa hidrogen. Sebelum ini, seorang pensyarah daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menemui saya untuk mengetahui lebih lanjut mengenai hidrogen di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen SUPP di sini Ahad.
Abang Johari menambah, UKM mengambil masa lima tahun untuk membangunkan prototaip penggunaan hidrogen tetapi Sarawak hanya setahun membuatnya.
“Ini adalah usaha kita ke arah teknologi hijau menggunakan sumber semula jadi seperti empangan hidro.
Ini adalah hala tuju ekonomi kita menjelang tahun 2030,” jelasnya.
Dalam pada itu, Abang Johari yang juga Pengerusi GPS sedang berusaha untuk menstruktur semula pendekatan ekonomi kerana perniagaan tidak boleh dilakukan seperti sebelum ini susulan pandemik Covid-19.
“Kita membina jalan raya dan jambatan untuk membuka bidang ekonomi dan pertanian di kawasan luar bandar.
“Malah, saya berkesempatan menunggang motosikal dari Sibu ke Kapit dua minggu lalu yang hanya mengambil masa sejam 45 minit,” ujarnya.
Katanya lagi, ia adalah usaha Kerajaan Sarawak untuk mentransformasikan Kapit sehingga ke Nanga Mujong dalam meningkatkan bidang pertanian dan keselamatan makanan.
Hadir sama Presiden SUPP Datuk Seri Sim Kui Hian, Setiausaha Agung SUPP Datuk Sebastian Ting dan Timbalan Setiausaha Agung PBB Datuk Ibrahim Baki.