STU cadang tangguhkan pembukaan prasekolah

KUCHING: Kesatuan Guru Sarawak (STU) mencadangkan pembukaan semula prasekolah ditangguhkan sehingga keadaan dijamin selamat.

Presiden STU Macky Joseph berkata, mereka bimbang tentang pematuhan SOP dalam kalangan kanak-kanak.

“Golongan ini mungkin sukar mengikuti arahan SOP sepanjang masa. Tanpa kerja dalam kumpulan juga boleh menyebabkan mereka bersendirian dan akan mempersoal perkara tersebut.

“Tingkah laku sosial murid prasekolah juga akan mempengaruhi perkara ini,” katanya semalam. Tambahnya, perkara itu akan membawa kepada interaksi fizikal. “Apa yang penting, untuk kelas yang disambung semula dan anak-anak meneruskan pendidikan.

Namun banyak tanggungjawab untuk memastikan mereka tidak membawa jangkitan ke sekolah. “Guru akan memikul beban besar untuk memastikan kanak-kanak mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya.

Beliau menegaskan, perkara itu akan menyebabkan guru kekurangan masa untuk aktiviti pembelajaran. “Kami menjangkakan guru akan lebih mengambil banyak masa mengawal kanak-kanak di sekolah.

“Jadi, STU menggesa kementerian berkenaan memikirkan bagaimana guru mematuhi SOP yang ditetapkan kerana keutamaan guru adalah mengajar,” ujarnya. Justeru STU mengesyorkan prasekolah kerajaan di Sarawak dibuka semula selepas PKPP.