KUCHING: Guru-guru di Sibu yang belum divaksin adalah terdiri daripada wanita yang mengandung dan masih menyusukan bayi.
Justeru, Presiden Kesatuan Guru Sarawak (STU) Adam Prakash Abdullah berkata mereka bukannya enggan menerima suntikan vaksin Covid-19.
Sehubungan itu, tegasnya dakwaan bahawa lebih 150 guru di Sibu yang enggan menerima suntikan vaksin Covid-19 adalah tidak benar.
“Guru-guru ini bukannya enggan divaksin tetapi telah memohon agar vaksinasi mereka ditunda sehingga mereka berasa selamat untuk divaksin,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Adam, pihaknya terkejut dengan dakwaan itu dan berharap pihak berkaitan menyemak secara terperinci terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang dakwaan.
“Kami tidak mahu ada gambaran negatif terhadap guru memandangkan STU juga telah menuntut agar para guru divaksin lebih awal demi keselamatan mereka dan pelajar,” katanya.
Penyelaras Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (J-P-B-B) Sibu, Dr Annuar Rapaee dilaporkan berkata terdapat lebih 150 guru di daerah itu yang enggan menerima suntikan Covid-19.
“Saya menerima laporan sekitar 150 guru tidak mahu divaksin dan angka itu sangat tinggi.
‘’Mereka (guru) akan berhadapan dengan murid-murid apabila sekolah dibuka nanti dan ini akan mendatangkan risiko kepada golongan itu,’’ katanya menerusi siaran di Facebook Live pada Sabtu.